Sebagai antara pasukan bola sepak tertua di Malaysia, berusia hampir 100 tahun, Pulau Pinang sewajarnya sudah cukup gah dan ampuh di dalam senario bola sepak negara.
Hari ini, tidak keterlaluan kita katakan skuad Harimau Kumbang ibarat roh yang mati di arena bola sepak tempatan.
Pelbagai permasalahan membelenggu pasukan ini sehingga membantut perkembangan pasukan. Antaranya yang terbaru adalah masalah kewangan yang serius.
Presiden yang baharu dilantik, Dr. Amar Pritpal Abdullah telah mengumumkan perancangan pasukan untuk musim akan datang dan juga pelantikan Ahmad Yusof sebagai ketua jurulatih.
Semuanya BOLA akan bawakan kepada para pembaca dan juga Ahmad Yusof senarai semak skuad Harimau Kumbang sebelum saingan Liga Malaysia 2019 membuka tirainya.
Rombakan besar-besaran
Pulau Pinang akan melalui satu proses rombakan pemain secara besaran untuk musim hadapan. Ini kerana, besar kemungkinan majoriti pemain akan dilepaskan kerana kekangan kewangan.
Selain itu, barisan pemain musim lalu, majoritinya dibawa oleh ketua jurulatih, Zainal Abidin Hassan. Kerana ketiadaannya, besar kemungkinan mereka juga bakal meninggalkan pasukan.
Untuk makluman jua, ketika ini Pulau Pinang sedang menjalankan sesi pemilihan terbuka untuk semua pasukannya iaitu skuad Liga Premier, Piala Presiden dan juga Piala Belia.
Agaknya, berapa ramai pemain yang akan akan dipilih oleh Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP)?
Tindakan ini dilihat perlu bagi membolehkan Harimau Kumbang memperbaiki struktur pasukan secara menyeluruh untuk saingan musim hadapan.
Kombinasi dan keserasian
Setiap pasukan yang mengalami rombakan pastinya akan melalui proses pembentukan semula pasukan. Keserasian antara pemain juga perlu ditanamkan agar keputusan positif mampu dijelmakan.
Inilah tugas penting Ahmad Yusof, iaitu untuk membentuk semula Pulau Pinang dari bawah untuk kembali ke landasan terbaik. Beliau perlu mencari ramuan terbaik untuk pulihkan pasukannya.
Jika FAP memilih untuk mengambil ramai pemain daripada sesi pemilihan, perkara pertama yang perlu Ahmad Yusof lakukan ialah memperkenalkan standard Liga Premier kepada mereka.
Ia pasti akan mengambil sedikit masa dan FAP juga bersikap realistik apabila turut meletakkan sasaran yang sederhana musim hadapan iaitu berada di kelompok 5 pasukan terbaik sahaja.
Kredibiliti Ahmad Yusof
Ahmad Yusof perah berjaya membawa Sime Darby FC layak ke Liga Premier 2018, namun akhirnya kecewa apabila pengurusan pasukan memutuskan untuk menarik diri daripada Liga Malaysia.
Dia kemudian berkelana ke sebuah lagi kelab Liga FAM, Hanelang FC musim berikutnya. Namun selepas lapan perlawanan, pengurusan pasukan mengumumkan penarikan diri daripada Liga FAM.
Ahmad Yusof sememangnya jurulatih yang kaya dengan pengalaman. Sebelum ini dia pernah membimbing 3 buah pasukan gergasi dalam saingan Liga Malaysia.
Jurulatih berusia 58 tahun itu pernah membimbing Pahang (2008), Kedah (2010-2011) dan Terengganu (2016), serta pernah menjadi penolong jurulatih beberapa pasukan lain.
Adakah pelantikannya untuk membimbing Pulau Pinang tepat? Ataupun, dia akan melalui satu lagi drama masalah dalaman pasukan, kerana Pulau Pinang juga adalah pasukan bermasalah.
Bajet kecil, masalah gaji
Harimau Kumbang sudah dua musim dibelenggu masalah dalaman terutamanya masalah pembayaran gaji sehingga ada khabar angin menyatakan Zainal Abidin Hassan turut terkesan.
Dalam sidang media baru-baru ini, Presiden FAP memaklumkan yang mereka memiliki tunggakan berjumlah RM11.2 juta dan tunggakan tersebut akan dilangsaikan oleh kerajaan negeri.
Kerajaan negeri turut memperuntukkan RM5 juta kepada FAP untuk musim 2019 dan menurut FAP lagi mereka akan mencari rakan penaja untuk menambah bajet pasukan.
Menurut pendedahan oleh Pengarah Urusan Action Football Asia pada 2017, bajet semusim yang diperlukan oleh pasukan Liga Premier adalah sekitar RM8 juta hingga RM10 juta.
Jika Pulau Pinang gagal mendapat dana lain untuk menampung perbelanjaan pasukan dan gagal berbelanja dengan berhemat, sudah pasti skrip yang sama bakal berulang.
Penyelesaiannya adalah Pulau Pinang perlu lebih agresif dan bijak mencari tajaan untuk pasukan. Ikut cara Terengganu City FC, sudah ada RM8 juta daripada 8 penaja berbeza.
Ketengahkan bakat muda negeri
Pulau Pinang memiliki pemain muda yang progesif dan tidak pernah ketandusan bakat muda. Antara yang sudah mencipta nama kini adalah S. Kumaahran, Syamer Kutty Abba dan Jafri Firdaus Chew.
Musim 2018, skuad Piala Presiden di bawah kendalian Manzoor Azwira hampir melayakkan diri ke pusingan kalah mati, sementara skuad Piala Belia pula berada di kelompok pertengahan liga.
Antara pemain muda yang sudah boleh diketengahkan dalam skuad utama adalah Nurfais Johari, K. Thivandaran, Amir Qayyum, Abdullah Qayyum, Afif Azman dan Khairul Akmal Rokisham.
Ada antara pemain-pemain tersebut dan beberapa pemain muda lain telah diberikan minit perlawanan oleh bekas jurulatih, Zainal Abidin Hassan pada saingan musim lalu.
Oleh itu, pengalaman telah diberikan musim lalu dan kini dengan kehadiran Manzoor Azwira selaku penolong jurulatih, sudah pasti mereka ini boleh diketengahkan sebagai tonggak pasukan.
Kembalikan stadium keramat, Stadium Bandaraya
Ini merupakan isu paling menarik perhatian para penyokong Pulau Pinang dan saban musim inilah perkara utama yang mahu didengari oleh pengikut setia Harimau Kumbang.
Ketika ini Pulau Pinang menggunakan Stadium Negeri Batu Kawan, yang menurut sebahagian besar mereka, ia terlalu jauh di selatan negeri.
Tempo hari, Presiden FAP memberi bayangan akan terus menggunakan stadium tersebut kerana kapasitinya yang mampu menampung penyokong lebih ramai.
Walaupun ia bukanlah ketetapan lagi, namun tindakan FAP ini dilihat membelakangkan pendapat penyokong yang sudah sekian lama mahukan Harimau Kumbang kembali ke ‘sarang’ asalnya.
Stadium Bandaraya merupakan stadium keramat buat penyokong dan walaupun kapasitinya tidak semegah Stadium Batu Kawan, namun setiap kali perlawanan, penyokong hadir ‘melimpah’.
Dan dengan penambahbaikkan yang dilakukan oleh kerajaan negeri hampir beberapa bulan yang lalu, Stadium Bandaraya kini sudah boleh beroperasi dengan wajah dan kapasiti baharu.
Penutup
Apa pendapat penyokong Harimau Kumbang?
Anda ada perkara lebih bernas untuk dikongsikan bersama kami? Sila kemukan diruangan komen.