Tindakan pantas bekas pemain pertahanan Liverpool, Sebastian Coates (gambar bawah) telah menyelamatkan nyawa rakan sepasukan dalam satu perlawanan Liga Primeira Portugal.
Pemain pertahanan antarabangsa Uruguay itu yang kini beraksi besama Sporting Lisbon pantas bertindak balas terhadap penjaga gol, Romain Salin dalam kekalahan 4-2 menentang Portimonense di gelanggang lawan.
Salin sebelum itu terlanggar tiang gol dalam usaha menyelamatkan percubaan pemain Portimonense, Shoya Nakajima sebelum babak pertama perlawanan berakhir.
Pelanggaran itu menyebabkan Salin tidak sedarkan diri dan terbaring di atas padang. Coates yang menyedari keadaan penjaga gol tersebut pantas datang sebelum membuka mulut Salin.
Beliau kemudian bertindak memasukkan jarinya ke dalam mulut Salin untuk mengelakkan penjaga gol tersebut tertelan lidah dan tercekik.
Coates kemudian pantas memanggil pasukan perubatan untuk membantu penjaga gol Sporting Lisbon itu.
Penjaga gol berusia 34 tahun itu kemudiannya dirawat di atas padang seketika sebelum diusung keluar dan digantikan dengan Renan Ribeiro.
Coates beaksi bersama Liverpool di antara 2011 sehingga 2014 sebelum menyertai Suncderland. Pemain pertahanan berusia 28 tahun itu memberikan sedikit harapan kepada Sporting Lisbon yang ketinggalan apabila menjadikan kedudukan 3-2.
Namun Portimonense menjadikan kedudukan 4-2 di masa kecederaan untuk mematikan saki baki peluang Sporting Lisbon untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata dalam perlawanan tersebut.
Sporting menduduki tangga keempat liga selepas kekalahan mengejut tersebut dengan 13 mata dari tujuh perlawanan.
Ia adalah kekalahan kedua Sporting Lisbon musim ini selepas tewas 1-0 kepada Braga pada minggu kedua kempen.
Saksikan tindakan balas pantas Sebastian Coates melalui video di bawah:
The dramatic moment Sebastian Coates prevented teammate Romain Salin from choking after he collided with the post ??? pic.twitter.com/uVirlOHUpJ
— ESPN UK (@ESPNUK) October 9, 2018