Dua jaringan di babak pertama membantu Gombak FA bagi meraih kemenangan 2-0 bertemu Rose FC dalam saingan kumpulan A AXA KVL M5 yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Pandan Perdana, malam tadi.
Gombak FA yang segar dengan kemenangan minggu lalu mendominasi aksi di babak pertama dengan melancarkan beberapa serangan ke arah kubu Rose FC.
Gol pembukaan perlawanan terhasil pada minit ke-14 berikutan kesilapan penjaga gol Rose FC, Muhammad Asymawi Ramli gagal menangkap kemas bola yang kemudiannya terkena palang gol bagi membuka ruang buat ketua pasukan Gombak FA, Qamarul Ariffin Norhisham membuka tirai jaringan.
Jaringan tersebut ternyata menjadi tonik berguna buat Gombak FA untuk terus menambah jaringan.
Menerusi hantaran lintang dari sebelah kiri pintu gol Rose FC oleh Furqan Azri kepada Muhammad Faizal Haziq Omar hampir menjadikan kedudukan 2-0 tetapi rembatan Faizal sekadar meliar melewati palang gol.
Faizal menebus kesilapannya pada minit ke-21 selepas beliau yang berjaya melepasi kawalan dua pemain pertahanan Rose FC melepaskan rembatan deras dalam kawasan penalti bagi membocori gawang lawan buat kali kedua.
Rose FC yang cuba mengimbangi asakan yang dilancarkan Gombak FA dan mendapat peluang pada minit ke-30 menerusi Muhammad Aizat Shaharuddin.
Percubaan dari luar kawasan penalti itu bagaimanapun mudah ditangkap kemas penjaga gol Gombak FA, Jamalulail Hassan.
Permainan di babak kedua memperlihatkan Rose FC meningkatkan aksi mereka dengan melancarkan gerakan-gerakan menarik bagi memecah kubu Gombak FA.
Penyudah kurang berkesan bagaimanapun masih belum mampu menghasilkan jaringan yang diharapkan. Begitu juga serangan yang dicipta Gombak FA.
Keputusan 2-0 kekal hingga tamat permainan untuk memberikan kemenangan ketiga buat Gombak FA dengan meraih sembilan mata daripada empat perlawanan yang dilalui.
Statistik perlawanan
Pemain terbaik perlawanan: Qamarul Ariffin Norhisham (Gombak FA)