Klang Southern FC bangkit dari ketinggalan satu gol untuk merakamkan kemenangan 4-1 bertemu Paja Jaras Hiliran (PJH FC) dalam saingan kumpulan A Selangor Champions League 2018 di Arena MPSJ, sebentar tadi.
Mohd Ikram Yahya bagaimanapun mengejutkan Klang Southern FC pada minit keenam selepas pemain berusia 32 tahun itu meledakkan sepakan percuma cantik yang terus menerjah gawang.
Tersentak dengan jaringan awal tersebut, Klang Southern FC memperkemaskan aksi dan mendominasi permainan.
Usaha mereka hampir menemui hasil positif pada minit ke-16 selepas hantaran lintang yang dilakukan Tneh Khai Chy disambar Charles Cheng Kuan Ming.
Namun, tandukan cantik tersebut berjaya dinafikan penjaga gol PJH FC, Mohd Razif untuk menyelamatkan gawangnya dari dibolosi.
Shahrul Afif Shaharuddin kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-20 selepas beliau mendapat lorongan menarik dari Kizito Somadina untuk melepaskan rembatan yang membolosi Razif walaupun penjaga gol PJH FC cuba untuk pada mulanya berjaya menepis sepakan tersebut.
Berselang enam minit kemudian, Kizito pula meletakkan nama selaku penjaring apabila berjaya melepaskan diri dari perangkap ofsaid yang sekaligus menggelecek Razif untuk menambah gol kedua buat Klang Southern FC.
Ketika aksi babak pertama menuju penghujung, Charles Cheng Kuan menjadikan kedudukan 3-1 selepas beliau berjaya menyempurnakan percubaan susulan akibat kegagalan Razif untuk menangkap kemas rembatan dilakukan How Eng Hua.
Ikram terlepas peluang untuk kembali merapatkan kedudukan setelah tandukan yang dilakukannya sekadar terkena tiang gol.
Shahrul Afif melengkapkan kemenangan 4-1 buat Klang Southern FC selepas berjaya menyempurnakan peluang berikutan situasi kelam-kabut di hadapan gol PJH FC.
Dengan kemenangan ini meletakkan Klang Southern FC di tangga pertama kumpulan A dengan mencatatkan tujuh mata. Berkongsi mata dengan ABMK tetapi mereka berkelebihan perbezaan jaringan.
Pemain terbaik perlawanan: Shahrul Afif Shaharuddin (Klang Southern FC)