Pemain tengah Liverpool, Naby Keita dikejarkan ke hospital selepas dibawa keluar dari padang akibat kecederaan belakang dalam perlawanan menentang Napoli.
Dalam perlawanan Kumpulan C UEFA Champions League itu, Liverpool tewas 1-0 kepada tuan rumah, SSC Napoli.
Gol pasukan tuan rumah dijaringkan oleh Lorenzo Insigne pada babak akhir perlawanan, untuk skuad kendalian Carlo Ancelotti itu berada di tangga tertas kumpulan dengan dua kemenangan.
Keita yang menyertai Liverpool dari RB Leipzig dengan nilai perpindahan £48 juta pada musim panas lalu, dibawa keluar menggunakan kenderaan pengusung oleh pasukan perubatan selepas 19 minit perlawanan berlangsung.
Sebelum itu, pemain tersebut terpaksa menerima rawatan di atas padang sebelum digantikan dengan Jordan Henderson.
Menurut sumber rasmi kelab melalui satu kenyataan, Keita kini akan menjalani setiap pemeriksaan kesihatan yang akan ditentukan oleh pakar perubatan untuk menilai sejauh mana kecederaan belakang yang dialami oleh pemain tersebut.
Tiada tarikh atau tempoh telah ditentukan untuk pemain berusia 23 tahun itu dibenarkan keluar dari hospital setakat ini.
Keita tampil dalam sembilan perlawanan untuk Liverpool pada musim ini dalam semua pertandingan termasuk empat perlawanan di saingan Liga Perdana Inggeris.
Pemain antarabangsa Guinea itu belum lagi menjaringkan sebarang gol buat kelab dari Merseyside itu, namun memainkan peranan penting di jentera tengah dalam memastikan permulaan cemerlang Liverpool pada musim ini.
Skuad Liverpool akan terus berada di Itali sehingga Khamis ini sambil memantau dekat situasi pemain tengah itu.