Kemenangan yang dicari Axis-O2 PJ FC dalam aksi Selangor Champions League 2018 (SCL2018) akhirnya menjelma pada perlawanan ketiga selepas menundukkan Gombak FC 2-1 di Arena MPSJ, sebentar tadi.
Axis-O2 yang sekadar meraih satu mata selepas mengharungi dua perlawanan apabila tewas 2-1 pada perlawanan pembukaan bertemu ABMK dan terikat tanpa jaringan menentang MPKJ The Lions FC tidak menunggu lama bagi mencipta jaringan pembukaan.
Menerusi gerakan solo dari sebelah kanan pintu gol Gombak FC yang dilakukan pertahanan kanan, Lucky Ogu, pemain kelahiran Nigeria itu kemudiannya menyudahkan secara sendirian peluang tersebut untuk gol pendahuluan buat Axis-O2 pada minit ke-5.
Gombak FC yang dibarisi majoriti pemain muda juga sesekali tampil bagi memberikan ancaman buat juara bertahan itu. Namun, faktor pengalaman jelas memisahkan kedua-dua pasukan tersebut.
Axis-O2 memiliki peluang terbaik bagi menambah jaringan pada minit ke-28 tetapi sepakan dari luar kotak penalti yang diledakkan Muhammad Nor Iman Mazlan sekadar singgah di palang gol.
Tandukan Adli Zulgafli seminit selepas itu juga turut mengecewakan Axis-O2 apabila tiang gol pula menjadi penghalang buat mereka.
Aksi babak pertama memperlihatkan peranan yang begitu berkesan dimainkan pemain import Axis-O2 PJ FC, Desmond Amadi Apaoma yang kerapkali mencipta ruang menarik buat rakan sepasukannya.
Memasuki babak kedua, pasukan dari Petaling Jaya itu terus mempamerkan corak permainan menyerang dengan asakan bertali arus ke kubu Gombak FC.
Desmond yang tidak keterlaluan untuk dikatakan menjadi duri dalam daging buat Gombak FC pada perlawanan ini menambah jaringan kedua buat Axis-O2 pada minit ke-56.
Gol tersebut terhasil selepas Desmond yang mendapat hantaran daripada Adli, dengan tenang melepaskan rembatan dari luar kotak penalti yang sekaligus berjaya menewaskan penjaga gol Gombak FC, Shahrul Iman Ahmad Shukri.
Jaringan tersebut tidak melunturkan semangat skuad muda ini apabila mereka terus memberikan tekanan buat Axis-O2 bagi merapatkan kedudukan.
Usaha mereka berbaloi pada berselang tiga minit selepas jaringan Desmond dihasilkan apabila pemain pertahanan Axis-O2, As’syaqireen Hasnoddin tertanduk bola ke gawang sendiri.
Gol yang terhasil jelas meningkatkan semangat Gombak FC untuk terus mencari jaringan, namun jaringan penyamaan yang diidamkan gagal diperoleh untuk perlawanan tamat dengan memihak Axis-O2 PJ FC untuk kemenangan 2-1.
Pemain terbaik perlawanan: Desmond Amadi Apaoma (Axis-02 PJ FC)