Terengganu FC (TFC) menjadi pasukan pertama layak ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia 2018 apabila menafikan kebangkitan Felda United untuk menang 4-3 dalam perlawanan yang diadakan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada malam tadi.
Berkelebihan satu gol selepas menang 2-1 di suku ahir pertama di Stadium Tun Abdul Razak, Felda United terlebih dahulu menjaringkan gol seawal minit ke-12 untuk mengikat kedudukan secara agregat.
Anak buah B.Sathianathan itu berjaya berada di hadapan selepas pemain import, Thiago Junior mudah menanduk masuk sepakan penjuru oleh Muhammad Danial Amier.
Felda United kemudiannya terus berusaha untuk membocori gawang TFC pada babak pertama untuk memadam kelebihan gol di tempat lawan milik pasukan tuan rumah melalui percubaan Iain Ramsay yang sedikit tersasar pada minit ke-23 perlawanan.
Ramsay sekali lagi menguji lawan dalam usaha menambah kelebihan, namun rembatan pemain berasal dari Filipina itu berjaya ditepis keluar oleh penjaga gol TFC pada minit ke-28 perlawanan.
Peluang pertama TFC hanya hadir selepas 34 minit aksi melalui J. Partiban, namum pemain itu gagal menyudahkan hantaran Ashari Samsuddin.
Felda akhirnya berjaya melebarkan kedudukan selepas perlawanan bersambung di babak kedua melalui percubaan Ahmad Syamin Yahya pada minit ke-48 perlawanan.
TFC yang melakukan sedikit perubahan taktikal di babak kedua akhirnya berjaya menemui penyudah, melalui rembatan dari luar kotak penaltil oleh Lee Tuck pada minit ke-56.
Gol oleh Lee Tuck itu seolah-olah berjaya membangkitkan kembali keghairahan skuad Penyu yang beraksi di hadapan 10,000 penyokong setia mereka yang hadir.
TFC kemudiannya berjaya menyamakan kedudukan melalui lambungan cantik Adib Aizuddin.
Tersentak dengan gol penyamaan itu, Felda United kemudiannya cuba kembali bangkit menerusi jaringan Gilberto Fortunato pada minit ke-78.
TFC memperolehi tindak balas yang tepat dalam tempoh 10 minit terakhir perlawanan apabila Abdul Malik Mat Ariff berjaya memberi kelebihan kembali kepada pasukan tuan rumah pada minit ke-82 perlawanan.
Ketika perlawanan sebenar berbaki lima minit, penyerang import dan kapten pasukan, Tchetche Kipre kemudiannya meledak gol keempat TFC dalam perlawanan tersebut, sekali gus membunuh harapan oleh Felda United untuk kembali bangkit.