Semuanya bermula selepas Luciano Spalletti dilantik semula sebagai pengurus AS Roma untuk menggantikan Rudi Garcia pada awal Januari 2016 yang lepas.
Sejak perlantikan semula Spalletti, Totti hanya dapat bermain 30 minit dalam 5 perlawanan Serie A.
Berbanding ketika Roma berada di bawah kendalian Rudi Garcia, Totti dapat bermain 183 minit dalam 4 perlawanan Serie A sebelum terpaksa diketepikan kerana masalah kecederaan.
Ini menyebabkan Totti tidak gembira. Apabila pemain tidak gembira, mereka akan meluahkannya ke media. Inilah yang dilakukan oleh Totti pada Sabtu (20 Februari 2016) lepas.
Dan seperti yang anda tahu apabila pemain yang tidak gembira membuka mulut kepada media, ia hanya mengundang suasana negatif di kelab – perkara terakhir yang Spalletti perlukan di Roma selepas baru dilantik.
“Tak boleh kekal di Roma macam ini”
Menyedari khidmatnya semakin tidak diperlukan oleh Luciano Spalletti, lagenda AS Roma itu menyuarakan kekecewaannya dalam satu temuramah televisyen Itali, RAI Sport.
Menurut Totti walaupun beliau sudah cergas sepenuhnya dan masih rajin berlatih, Spalletti tidak menghormati sumbangannya dan tidak berlaku adil.
“Saya tak boleh kekal di Roma macam ini. Saya tak suka duduk di kerusi simpanan. Saya faham pemain yang umurnya macam saya akan bermain kurang. Tapi jika inilah cara karier saya berakhir, ia seolah-olah sumbangan saya kepada Roma tidak bererti.”
“Saya mahu sumbangan saya dihargai selepas apa yang saya lakukan untuk Roma.”
Ketika ditanya mengenai hubungannya dengan Spalletti, Totti menjawab:
“Hubungan saya dengan Spalletti? Kami ucap ‘selamat pagi’ dan ‘selamat petang’. Itu saja. Dia ada puji saya di akhbar, tapi bukan terus kepada saya.”
“Saya hormatnya sebagai jurulatih.”
Totti turut berpendapat beliau patut bermain kerana sudah cergas selepas pulih daripada kecederaan dan masih tidak mahu bersara.
“Saya mahu main kerana saya adalah pemain bola sepak. Saya sangat beruntung kerana masih mempunyai keghairahan, kerana saya orang pertama tiba di latihan dan orang terakhir meninggalkan latihan.”
“Bila anda masih melakukan perkara tersebut, maknanya anda masih mahu bermain. Tiada siapa boleh beritahu saya untuk bersara.”
Spalletti gugurkan Totti
Hanya beberapa jam selepas mengumumkan Totti akan bermain menentang Palermo pada hari Ahad (21 Februari 2016), Spalletti menggugurkan Totti daripada skuad AS Roma.
Ia berlaku selepas temu ramah yang diberikan oleh Totti di rancangan televisyen RAI Sport.
Menurut Spalletti, beliau terpaksa melakukan tindakan tersebut kerana ia menganggu persiapan dan konsentrasi pasukan menjelang perlawanan menentang Palermo.
“Berdasarkan komennya dan liputan media tentang isu ini, saya merasakan kehadirannya akan menganggu konsentrasi pasukan.”
Spalletti turut memberitahu beliau perlu berlaku adil kepada semua pemain, bukannya kepada Totti sahaja.
“Jika anda layan seorang pemain dengan cara yang istimewa, anda juga perlu memberi layanan sama kepada semua pemain.”
“Ya. Memang saya perlu hormatkannya kerana beliau (Totti) seorang pemain yang hebat, tetapi saya juga perlu menghormati pemain lain dalam skuad.”
Dalam perlawanan tersebut, AS Roma menewaskan Palermo 5-0 untuk kekal di tangga ke-4 Serie A.
“Totti boleh ambil apa-apa jawatan yang dia mahu”
AS Roma mengambil keputusan untuk tidak menghukum Totti atas komen pedasnya dalam temuramah stesen televisyen tersebut. Malah mereka memberi jaminan Totti boleh terus kekal di Roma jika beliau bersara nanti.
Dengan kontraknya sebagai pemain akan tamat pada Jun 2016, Totti dikhabarkan telah ditawarkan kontrak 6 tahun sebagai pengarah di AS Roma.
CEO AS Roma, Mauro Baldissoni memberitahu media:
“Beliau (Totti) mempunyai kontrak sebagai pemain sehingga Jun, kemudian 6 tahun sebagai ahli lembaga pengarah kelab.”
“Kalau beliau mahu terus bermain, beliau perlu berbincang dengan presiden kelab (James Pallotta). Kami serahkan keputusan kepadanya.”
Difahamkan Totti akan kembali menyertai latihan pasukan pada hari ini (22 Februari 2016).
Baca juga: Kelab Bolivia Guna Jersi Pasar Malam AS Roma Dalam Perlawanan Liga