Jaringan pada masa kecederaan yang dihasilkan pemain kelahiran Brazil, Roberto Firmino membantu Liverpool meraih kemenangan 3-2 keatas Paris Saint-Germain (PSG) di Anfield awal pagi tadi.
Beraksi di hadapan penyokong sendiri, anak buah Jurgen Klopp rancak melancarkan serangan ke kubu PSG.
Kelab gergasi Perancis itu juga kadangkala turut memberikan ancaman buat Alisson Becker dan pertahanan The Reds yang diketuai Virgil Van Dijk.
Usaha Liverpool membuahkan hasil pada minit ke-30 selepas Daniel Sturridge berjaya menanduk masuk bola hasil hantaran lintang daripada sebelah kanan pintu gol PSG oleh Andrew Robertson untuk membuka tirai jaringan.
James Milner melebarkan kedudukan enam minit kemudian apabila dengan tenang pemain berusia 32 tahun itu menyempurnakan sepakan penalti buat Liverpool.
Ketika aksi di babak pertama hanya tinggal lima minit untuk ditamatkan, rembatan voli rendah yang dilakukan pemain antarabangsa Belgium, Thomas Meunier berjaya merapatkan kedudukan.
Jaringan tersebut jelas memberikan sedikit kelegaan buat Thomas Tuchel dan dijadikan bekalan berguna untuk kembali bangkit pada separuh masa kedua.
Tuan rumah yang berada di mood terbaik ketika ini selepas cemerlang dalam saingan domestik terus menghadirkan gerun buat pertahanan PSG.
Mereka hampir menambah jaringan pada minit ke-59 menerusi Mohamed Salah tetapi jaringan tersebut dibatalkan selepas Sturridge terlebih dahulu dikesan melakukan kekasaran terhadap penjaga gol, Alphonse Areola.
Bintang muda, Kylian Mbappe menyamakan kedudukan di minit ke-83 selepas beliau yang menerima hantaran Neymar dalam kotak penalti tidak berdepan masalah bagi menewaskan Alisson.
Ternyata jaringan tersebut bukanlah gol yang terakhir pada perlawanan ini apabila Roberto Firmino muncul wira buat Liverpool selepas ledakannya pada masa kecederaan melonjakkan kegembiraan buat para penyokong tuan rumah.
Jaringan yang sekaligus menghadiahkan tiga mata penuh pada perlawanan sulung buat Liverpool dalam saingan kumpulan C ini.