Menikmati hidangan kari ayam, bermain perlawanan FIFA di konsol dan menontot Match Of The Day.
Ia kedengaran seperti perkara yang akan dilakukan oleh sesiapa sahaja di hujung minggu atau pada hari cuti. Tetapi bayangkan anda melakukan semua itu bersama dengan pemenang Piala Dunia.
Itulah sebenarnya yang dilalui oleh sekumpulan pemuda setelah terserempak dengan bintang Perancis, N’golo Kante di sebuah masjid selepas selesai menunaikan ibadah.
Pemain tengah Chelsea itu sebenarnya tertinggal keretapi Eurostar dari St Pancras selepas membantu pasukannya menewaskan Cardiff City 4-1 pada Sabtu lalu.
Selepas itu, Kante mengunjungi sebuah masjid yang terletak di Kings Cross, di mana Kante terserempak dengan sekumpulan pemuda tersebut.
Setelah menyedari ianya adalah bintang Piala Dunia tersebut, Badrul Rahman Jalil yang merupakan seorang penyokong Arsenal memberanikan diri untuk menjemput Kante ke rumah mereka. Dan Kante tidak menolak jemputan tersebut.
“Saya mengunjungi masjid pada petang Sabtu untuk beribadah. Kami menunaikan solat bersama-sama. Ia adalah salah satu ajaran di dalam Islam untuk menjemput tetamu bertandang, dan untuk makan malam. Maka saya pun menjemput beliau,” ujar Badlur.
“Kante pun menyertai saya dan seorang lagi saudara kandung saya, dan beliau keseorangan ketika itu. Kante menjelaskan lagipun, beliau sememangnya dalam perjalanan untuk pulang ketika itu.
“Kante mengamalkan diet protein, jadi kami menyediakan kari ayam. Kami turut menikmati secawan teh bersama-sama.
“Dalam permainan FIFA, Kante mengalahkan kami semua sebelum kami menyaksikan Match of the Day bersama-sama. Ia adalah satu petang yang menakjubkan.”
Seramai lapan sehingga sepuluh orang mendiami kediaman tersebut dan meluangkan masa bersama dengan Kante.
“Saya adalah seorang penyokong Liverpool. Yang lain adalah penyokong Arsenal. Tetapi Kante lebih daripada seorang pemain bola sepak. Sebagai seorang Muslim, beliau ialah contoh seorang manusia yang baik,” ujar Jahrul melalui akaun Twitter beliau.
“Kante ialah seorang lelaki yang amat merendah diri. Jelas beliau tidak pernah berfikir dirinya berada di tahap lain berbanding anda.
“Ada bintang bola sepak tidak senang apabila anda mahu mengambil gambar bersama mereka, atau untuk mendapatkan autograf. Kante adalah sebaliknya, dan gembira mengambil gambar secara individu dengan semua kami.
“Anda boleh tahu ianya adalah senyuman yang sangat ikhlas dari Kante,” tambah beliau lagi.
Seorang jurucakap Chelsea mengesahkan kejadian tersebut mengambil tempat ketika dihubungi oleh BBC sambil berkata:
“Itulah Kante yang kita kenal.”