Tempoh hari, berita UEFA bercadang mewujudkan kejohanan ketiga untuk kelab-kelab bola sepak Eropah telah tular. Bagi yang belum berkesempatan membacanya, boleh membaca di pautan berikut:
UEFA Bakal Wujudkan Kejohanan Kelab Eropah Ke-3, Desak Pembaharuan Kalendar Antarabangsa
Ramai mengimbas kembali pertandingan Cup Winners Cup (atau lebih mudah dipanggil CWC) yang pernah dianjurkan oleh badan induk bola sepak Eropah itu.
Mari kita mengimbau kenangan pertandingan yang pernah mendapat perhatian ramai tersebut.
Cup Winners Cup
Seperti namanya, pertandingan ini hanya disertai oleh pemenang piala domestik pada musim sebelum itu.
Sekiranya kelab memenangi piala domestik telah menjuarai liga pada musim yang sama, naib johan piala tersebut akan diberikan slot untuk kejohanan Cup Winners Cup.
Pada asalnya, Champions Cup (kini dikenali Champions League) hanya disertai oleh juara liga domestik sahaja. Tidak sebagaimana hari ini di mana tempat kedua, ketiga mahu pun keempat diberikan tempat dalam UEFA Champions League.
Trofi ini mula dipertandingkan mulai musim 1960/61 dengan menyaksikan kelab Itali, Fiorentina menjadi kelab pertama memenanginya. Mereka menewaskan Glasgow Rangers dari Scotland melalui agregat 4-1.
Tak serius?
Sejak kejohanan ini diperkenalkan, kebanyakan negara-negara Eropah mula serius mewujudkan pertandingan piala. Sebelum ini, mereka hanya bergantung kepada liga semata-mata.
Pada ketika itu juga, negara ahli UEFA pun tidak sebanyak sekarang. Kesatuan Soviet, Yugoslavia dan Czechoslovakia masih lagi wujud. Tidak hairanlah UEFA tidak pening sangat semasa menguruskan kejohanan ditadbirnya.
Menariknya, para pemenang CWC akan bertemu juara Champions Cup untuk merebut Super Cup. Namun setelah pemansuhan CWC pada 1999, Super Cup hanya disertai oleh juara Champions League dan Europa League.
Siapa jaguh?
Barcelona memenangi kejohanan ini sebanyak 4 kali iaitu pada 1979, 1982, 1989 dan 1997.
Anderlecht, kelab terkenal dari Belgium pernah menjuarainya sebanyak 2 kali iaitu pada edisi 1976 dan 1978. AC Milan turut pernah memenanginya 2 kali sewaktu kejohanan 1968 dan 1973.
Chelsea menjadi kelab Inggeris terbanyak memenangi kejohanan dengan menyaksikan The Blues menjulang trofi ini 2 kali. Mereka memenanginya pada 1971 dan sekali lagi pada 1998.
England menjadi negara paling banyak kelab memenangi CWC iaitu 8 kali. Arsenal, West Ham, Tottenham dan Everton pernah menjulangnya. Begitu juga dengan kedua-dua kelab ulung dari Manchester.
Penutup
Lazio menjadi kelab terakhir menjuarai kejohanan ini pada musim 1998/1999. Mereka menewaskan Real Mallorca pada perlawanan akhir.
UEFA mengambil keputusan untuk memansuhkan kejohanan ini selepas itu. Para pemenang piala domestik akan diberi slot dalam UEFA Cup (nama lama Europa League) sehingga hari ini.
Begitulah kisahnya sebuah kejohanan yang pernah berada dalam lipatan sejarah bola sepak dunia. Tetapi diharapkan UEFA dapat memberikan satu hasil positif dan berkualiti dalam penganjuran kejohanan kelab domestik ketiga di bawah pentadbiran mereka.
Kami pun tak sabar nak menunggu perkembangan terkini. Apatah lagi anda.