Sebuah jawatankuasa bebas telah diwujudkan oleh pihak Premier League bagi melakukan siasatan pelantikan Marco Silva oleh Everton sebagai pengurus kelab itu.
Senario paling teruk ialah Everton akan dipotong mata disebabkan tatacara pelantikan pengurus itu oleh kelab Merseyside tersebut.
Siasatan oleh Premier League akan berkisar kepada adakah Everton menggunakan prosedur yang betul untuk memujuk Silva menyertai mereka ketika pengendali dari Portugal itu masih bergelar pengurus Watford.
Silva adalah pengurus pilihan utama Everton untuk menggantikan Ronald Koeman sebelum jawatan tersebut diisi terlebih dahulu oleh Sam Allardyce.
Watford turut dilaporkan menolak pampasan sebanyak £12 juta dari Everton untuk Silva.
Siasatan tersebut akan melibatkan ramai pihak di Everton, termasuk pemilik kelab, Farhad Moshiri dan barisa lembaga pengarah kelan yang lain.
Mereka telah diarah untuk menyerahkan rekod panggilan kepada jawatankuasa siasatan yang dibentuk pada minggi lalu, untuk menyiasat sejak bila Everton mulai menghubungi Silva.
Pendirian Watford adalah jelas iaitu mahukan Everton dihukum dan percaya percubaan Everton untuk mendapatkan pengurus tersebut telah menghancurkan cabaran mereka pada musim lalu.
Silva kemudiannya dipecat oleh Watford pada Januari lalu selepas hanya satu kemenangan dari 11 perlawanan, sambil Watford menganggap pemecatan tersebut adalah disebabkan oleh percubaan Everton untuk mendapatkan Silva secara tidak sah.
Premier League cuba untuk mempercepatkan kes, dengan kemungkinan bayaran pampasan kepada Watford oleh Everton, namun tiada persetujuan mampu dicapai oleh semua pihak.
Dua perjuampaan pada April dan Julai lalu membabitkan kedua-dua kelab dan Premier League menemui jalan buntu.
Malah ketika perjumpaan pada April lalu, Watford telah diberikan jaminan oleh Everton bahawa Silva tidak akan menyertai mereka pada musim panas lalu, namun pengendali tersebut tetap ke Goodison Park pada Julai lalu dengan kontrak selama tiga tahun.
Walaupun berkemungkinan untuk dihukum potongan mata itu ada, jawatankuasa bebas Premier League yang ditubuhkan mungkin mahu bayaran pampasan oleh Everton sebagai jalan penyelesaian terbaik untuk kedua-dua pihak.