EKSKLUSIF: Dari SUKMA Sehingga Ke AFF Suzuki, Sabree Abu Kereta Kebal Legenda Kedah

“Sabre Abu? Mana dia main sekarang ha? Pemain legend tu.”

Persoalan yang bermain di minda sebilangan kecil yang mengikuti Liga Malaysia (Liga M) apabila diajukan persoalan, ‘apa yang anda masih ingat mengenai Sabre Abu?’

Tonggak yang pernah meraih kejuaraan double treble bersama Kedah dan juga kejuaraan AFF 2010 bersama skuad kebangsaan itu kini sedang meniti penghujung kariernya.

Namun, buat pemain yang pernah meraih kejuaraan besar, dia yang kini beraksi bersama pasukan Sarawak, mungkin sedang melalui penghujung karier yang tidak begitu indah.

Sarawak yang beraksi di 100Plus Liga Premier itu ketika ini sedang dibelenggu masalah kewangan tiada berkesudahan sejak beberapa musim lalu, walaupun pelbagai langkah telah dilakukan, termasuk membuka bidaan untuk nombor pendaftaran kenderaan khas, yang boleh memberi pulangan jutaan ringgit.

Terbaharu, dalam saingan Piala Cabaran, Sarawak berkunjung ke Terengganu dengan membawa 13 orang pemain sahaja atas sebab masalah kewangan yang kian meruncing.

Kali pertama melalui masalah gaji

Pemilik jersi No.3 pasukan Sarawak ini pernah dikhabarkan oleh sebuah portal sukan di sana yang dia terpaksa melapik perutnya dengan mi segera (Mi Maggie) disebabkan oleh masalah gaji.

Mengakui yang Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) ketika ini sedang mengalami masalah kewangan, Sabre Abu tampak mengelak untuk menjawab kepada khabar angin tersebut.

“Susah nak jawab tu (makan maggie). Difahamkan di Sarawak, sumber kewangan hanyalah daripada seorang individu. Kerajaan negeri seperti tidak membantu, itu yang susah.

“Ini kali pertama terjadi dalam karier saya. Memang mengganggu tetapi terpaksa teruskan juga. Duit itu perlu, tapi kalau tiada, nak buat macam mana,” jelasnya kepada Semuanya BOLA.

Menjadi tanda tanya juga bagaimana sebuah persatuan bola sepak negeri hanya bersandarkan kepada satu orang untuk mencari dana, tatkala ia juga memerlukan barisan exco untuk membentuk sesebuah organisasi.

Sabree Abu sertai Sarawak FA selepas usia cecah 30 tahun.

Namun, mujur baginya, dia memiliki perniagaan sendiri iaitu Sabresue Sport Garage yang menjual pelbagai jenis barangan sukan dan juga bakesbysue iaitu perniagaan kek.

SUKMA 2006 adalah platform pertama

Pemain yang boleh beraksi di pelbagai posisi itu kini telah berusia 31 tahun dan jika dihitung karier profesionalnya, dia telah beraksi selama 12 tahun, iaitu bermula sejak tahun 2006.

Menurutnya, kariernya bermula di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kulim dan kemudian ketika di tingkatan 5, dia telah berpindah ke Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).

“Setelah tamat pengajian di tingkatan 5 SSBJ, pemain-pemain yang berasal daripada pembangunan negeri telah diwajibkan untuk kembali mewakili negeri masing-masing.

“Untuk naik ke skuad utama, kami bermula di Sukan Malaysia (SUKMA),” jelasnya kepada Semuanya BOLA dan turut menyatakan SUKMA 2006 adalah platform pertamanya.

Di SUKMA 2006, dia bersama-sama Baddrol Bakhtiar, Khyril Muhymeen dan Khairul Helmi Johari telah meraih pingat perak apabila tumbang di pentas final kepada Terengganu.

Bangga raih kejuaraan double treble di usia muda

Sabre menyatakan kepada Semuanya BOLA tidak mudah untuknya menembusi skuad utama kerana terdapat pemain senior yang berpengalaman di posisi pertahanan.

Mujur baginya, dia boleh beraksi hampir di semua posisi kecuali di gawang gol dan itulah yang telah dimanfaatkannya sepanjang musim suai kenal bersama skuad utama Helang Merah.

“Thiru (V. Thirumurugan) dan Pelam (Shafizan Hashim),” ujarnya mengenai pesaing utamanya ketika mula-mula beraksi bersama skuad senior Kedah bermula pada musim 2006/07.

Baginya, dia berasa sangat berbangga kerana pada usia yang muda iaitu sekitar 20 tahun, dia telah berjaya meraih 3 piala untuk dua tahun berturut-turut bersama skuad Jelapang Padi itu.

Dan sehingga kini, masih tiada pasukan yang mampu menandingi pencapaian yang telah direkodkan oleh Kedah itu dan memang seharusnya Sabre Abu berbangga atas kejayaan tersebut.

Cemas sebelum raih kejuaraan AFF 2010

Pemain yang mesra dipanggil Adigun dan Abah dikalangan rakan-rakan dan para peminat itu juga sempat berkongsi pengalamannya ketika beraksi di Kejohanan AFF 2010 di Indonesia.

“Final kena naik kereta kebal (Barracuda) dan raih kejuaraan di tempat orang. Betapa dramatiknya ketika itu dengan ratusan ribu penyokong di dalam dan di luar stadium.

“Rasa cemas sangat masa turun dari hotel. Perlu turun enam orang sekali yang dikepung dan dikawal oleh pengawal untuk ke kereta kebal yang membawa kami ke stadium,” ceritanya lagi.

Namun, menurut pemain yang menjadikan penyerang lagenda Brazil, Ronaldo de Lima sebagai idolanya itu lagi, itu adalah kenangan dan detik manis sepanjang karier bola sepaknya.

“Saya sangat terharu dan bersyukur kerana berada dalam pasukan ketika itu yang telah menamatkan penantian skuad kebangsaan untuk menjuarai Piala AFF,” jelasnya lagi.

Skuad kebangsaan di bawah bimbingan Datuk K. Rajagobal ketika itu akhirnya telah berjaya menamatkan penantian 14 tahun Malaysia untuk menjuarai kejohanan terbesar di Asia Tenggara itu.

Kenapa tinggalkan Kedah?

Musim 2013 adalah musim terakhirnya bersama Kedah iaitu ketika mereka sedang bersaing di saingan Liga Premier selepas diturunkan pangkat dan memilih untuk berhijrah ke PDRM.

“Saya kurang selesa dengan jurulatih luar,” selorohnya apabila disoal mengenai penghijrahannya ke PDRM walaupun kontraknya bersama Kedah masih lagi berbaki setahun ketika itu.

Skuad Helang Merah pada musim tersebut dikendalikan oleh pengendali berasal daripada Croatia, Mario Tot dan kemudian pengendali daripada Australia, David Michael.

Jelas Sabre Abu, sebenarnya dia inginkan suasana baharu dan berkeinginan untuk beraksi di bawah bimbingan Dollah Salleh, malah PDRM juga telah hadir menawarkan peluang tersebut.

Pendorong, posisi dan gandingan kegemaran serta kenangan pahit

Semuanya BOLA juga sempat bertanyakan kepadanya mengenai individu yang pernah atau sentiasa menjadi pendorong utama buatnya dalam karier bola sepak.

“Jurulatih yang membantu saya bagi memulakan karier ini adalah coach Halim, coach Kuppusamy dan juga pembantu Tan Cheng Hoe ketika ini, coach Aminuddin,” ujarnya.

Apabila ditanyakan mengenai posisi kegemarannya, Sabre Abu menyatakan posisi pertahanan kiri kerana banyak kenangan manis semasa dia beraksi di posisi tersebut.

Dalam manis pasti ada pahit. Antara kenangan pahit yang masih diingati olehnya adalah apabila terpaksa berehat hampir 8 bulan akibat kecederaan tendon di lutut pada 2014.

Selain itu, dia turut menyatakan yang dia gemar beraksi dan bergandingan bersama-sama Baddrol Bakhtiar, Khyril Muhymeen dan juga lagenda Kedah, Nelson Sam Martin.

Apa kata peminat?

Penulis telah melontarkan persoalan di Facebook mengenai, ‘Apa yang anda masih ingat mengenai Sabre Abu?’, dan berikut adalah antara komen menarik yang boleh penulis ketengahkan.

Sabre Abu: “Gelaran ini saya dapat masa main di Kedah, mungkin sebab selalu langgar dan tackle orang.”

Sabre Abu: “Ya, saya ingat. Sebelum itu, Outlaw sepak tak masuk dan sepakan saya jadi penentu. Dah la umur 20 tahun masa tu.”

Sabre Abu: “Masa lawan Vietnam tu sejuk. Saya seorang sahaja yang pakai glove sebab tak tahan sejuk.”

Penutup

Satu-satunya piala domestik yang belum dimenangi Sabre Abu sehingga kini adalah Piala FAM dan terbaharu yang boleh dimasukkan dalam senarai adalah Piala Cabaran.

Dia telah menjulang 3 piala utama dalam negara selama dua tahun berturut-turut iaitu Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia, suatu rekod yang pasti susah untuk diraih lagi.

Walaupun jangka hayatnya bersama skuad kebangsaan tidak panjang, namun dia juga berjaya merekodkan dan meraih sesuatu yang berharga buat dirinya iaitu Piala AFF 2010.

Dia bermula dengan pentas SUKMA sebagai platform pertamanya untuk menembusi skuad utama Kedah dan atas bakat serta prestasi baiknya, dia telah berjaya merangkul pelbagai kejuaraan.

Jadi, siapa Sabre Abu? Bagi penulis, dia adalah salah seorang permata negara pada satu masa dahulu di posisi pertahanan, sebelum adanya Syazwan Andik, Fazly Mazlan atau Corbin Ong.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN