Pemain antarabangsa Perancis yang beraksi untuk Atletico Madrid dalam saingan La Liga, Antoine Griezmann melihat Amerika Syarikat sebagai destinasi terakhir dalam karier bola sepak yang digemarinya.
Menurut sumber Goal, pemain berusia 27 tahun itu akan menyertai Inter Miami yang merupakan kelab milik legenda England, David Beckham, sekiranya bekas kapten England itu minat untuk mendapatkan khidmatnya.
Kelab tersebut akan mula beraksi dalam saingan Major League Soccer (MLS) pada tahun 2020.
Keinginan untuk mengembangkan kariernya ke MLS bukanlah satu gurauan apabila Griezmann mengatakan beliau sememangnya berminat untuk menamatkan karier di negara Uncle Sam itu.
”Sekiranya (David) Beckham mahukan saya beraksi untuk kelabnya, saya akan ke pergi kesana.”
”Saya mahu menamatkan karier saya di Amerika Syarikat. Saya masih tidak mengetahuinya lagi tetapi ia mungkin ke Miami atau Los Angeles.”
”Kedua-dua destinasi itu merupakan bandaraya yang hebat. Saya menyukai mentaliti dan budaya yang ditunjukkan oleh Amerika Syarikat.”
Antoine Griezmann yang merupakan sandaran buat Atletico Madrid telah menjaringkan 113 gol dari 213 perlawanan serta berjaya membantu Los Colchoneros menjuarai Liga Europa musim lalu.
Kejayaan menjuarai Piala Dunia 2018 di Rusia sudah pasti menjadi detik terhebat dalam karier bola sepak pemain di bahagian serangan itu.