Berada Di Puncak EPL, Ini 4 Wira Tidak Didendang Liverpool

Keputusan seri 1-1 di antara Wolves dan Manchester City tidak disia-siakan Liverpool.

Menanti kunjungan Brighton di Anfield dalam perlawanan seterusnya, gol tunggal Mohamed Salah memacu kelab Merseyside itu ke puncak Liga Perdana Inggeris (EPL).

Walaupun kempen musim ini baru berusia tiga perlawanan, Liverpool yang mengutip mata maksimum hasil tiga kemenangan, dengan tujuh gol tanpa bolos jelas telah menyebarkan mesej betapa seriusnya mereka pada musim ini.

Tatkala nama seperti Salah, Sadio Mane, Alisson Becker dan Naby Keita sering menjadi sanjungan penyokong The Reds, kami gariskan empat lagi wira tidak didendang berdasarkan rekod OPTA oleh Squawka Football.

1. Andrew Robertson

Jika rekod pengurusan bersama Mainz dan Borussia Dortmund diambil kira, Jurgen Klopp sebenarnya tidak pernah membeli seorang bek kiri untuk pasukannya.

Ia sama ada Klopp akan membangunkan seorang bek kiri, atau menjadikan seorang pemain sayap untuk bermain di posisi itu, sepertimana yang pernah Klopp lakukan bersama James Milner.

(photo by David Blunsden/Action Plus via Getty Images)

Kerana itulah timbul sedikit tanda tanya apabila Klopp membawa masuk Andrew Robertson dari Hull. Apatah lagi Hull adalah pasukan yang mempunyai rekod pertahanan yang buruk dan tersingkir dari EPL pada musim sebelumnya.

Ianya bukan permulaan yang mudah buat Robertson di Anfield. Robertson hanya mulai membuktikan keupayaan sebenarnya pada suku terakhir musim lalu, lantas dikenali sebagai seorang bek sayap yang kental.

. (Photo by Mike Hewitt/Getty Images)

Musim ini Robertson beraksi di setiap 90 minit perlawanan, dan sumbangan pemain ini sudah mulai dirasai dengan 1 bantuan gol dalam kemenangan 4-0 ke atas West Ham.

Peranan utama Robertson selain daripada bertahan ialah untuk melakukan larian ke hadapan, samaada di bahagian sisi, atau terus ke dalam kotak penalti, sekaligus membenarkan Mane beroperasi di bahagian tengah serangan milik Liverpool.

2. Joe Gomez

Kisah Joe Gomez bersama Liverpool agak dramatik. Kejohanan  Piala Dunia yang berlangsung pada musim panas yang lalu bermakna tempoh rehat lebih lama untuk pemain yang terlibat.

Ini bermakna Liverpool tanpa khidmat Dejan Lovren dan juga Joel Matip yang sedang pulih dari kecederaan pada permulaan musim.

Tanpa dua pemain tersebut, Klopp terpaksa mengalihkan perhatian kepada Joe Gomez untuk digandingkan dengan pemain pertahanan termahal dunia, Virgil van Dijk.

(Photo by Simon Stacpoole/Offside/Getty Images)

Gomez baru berusia 21 tahun dan merupakan seorang bek kanan sebelum mengalami kecederaan. Selepas pulih, beliau sukar mendapatkan kembali tempat di posisi tersebut selepas prestasi yang ditunjukkan oleh Tren Alexander-Arnold.

Digandingkan bersama Van Dijk di bahagian tengah pertahanan, Gomez menunjukkan kebolehan semulajadi milik beliau di posisi tersebut.

Van Dijk mungkin pemain lebih menyerlah di kalangan pemain pertahanan Liverpool, tetapi Gomez jelas adalah pasangan yang memberikan keserasian untuk membantu kapten pasukan Belanda itu.

(Photo by Laurence Griffiths/Getty Images)

Dalam perlawanan menentang Brighton pada malam tadi, aksi Gomez mengekang asakan Glenn Murray adalah bukti mengapa pemain ini bakal menjadi nadi penting kepada skuad kendalian Klopp.

Malah selepas Matip diperkenalkan, Gomez yang kemudiannya beraksi sebagai bek kanan hanya menjelaskan bagaimana versatiliti milik beliau penting untuk membantu Liverpool mengejar sebarang impian kejuaraan pada musim ini.

3. Georginio Wijnaldum

Nombor jersi pada beberapa pemain Liverpool pada musim ini agak mengelirukan. Ataupun unik dengan cara mereka sendiri?

Bek sayap, Robertson dengan No.26, dan bukan No.3 kebiasaan seorang bek sayap kiri dan Trent Alexander-Arnold dengan No.66. Manakala Dejan Loveren memilih No.6, nombor jersi yang lebih sinonim untuk seorang pemain tengah, dan Georginio Wijnaldum pula selesa dengan No.5 walaupun beliau bukan seorang pertahanan tengah.

(Photo by Simon Stacpoole/Offside/Getty Images)

Kami tidak berpendapat ia berjaya mengelirukan pasukan lawan, jika itu tujuannya. Tetapi bukan itu yang mahu dibicarakan melainkan prestasi dan sumbangan Wijnaldum dalam tiga perlawanan bersama Liverpool setakat ini.

Dengan kehadiran Fabinho dan Naby Keita, Wijnaldum tetap memperagakan sikap yang penuh profesional dan mahu bersaing dalam pasukan Liverpool ini.

(photo by David Blunsden/Action Plus via Getty Images)

Beraksi sepanjang 270 minit melangkaui tiga perlawanan, Wijnaldum mengambil peranan sebagai pivot.

Dalam perlawanan menentang Brighton, beliau adalah pemain tengah Liverpool yang paling yakin, menyekat gerakan menyerang pasukan lawan sebelum mengerakkan bola tanpa putus asa untuk memecah benteng pertahanan lawan, walaupun di ruangan yang paling sukar.

4. James Milner

James Milner sudah berusia 32 tahun dan dianggap sebagai veteran di dalam skuad Liverpool. Tetapi tidak siapa boleh menafikan kerja keras yang dimiliki oleh pemain ini.

Milner bukan pemain pilihan utama, tetapi beliau sentiasa memastikan dirinya sentiasa bersedia untuk digunakan oleh Klopp.

Ketika Klopp baru tiba di Anfield, Milner beraksi di bek kiri. Selepas kehadiran Robertson, ini bermakna Milner boleh kembali ke posisi asal beliau di bahagian tengah.

(Photo by Simon Stacpoole/Offside/Getty Images)

Tidak ada siapa menjangkakan Milner akan terus diberikan kepercayaan setelah ketibaan muka baru di bahagian yang sama pada jendela perpindahan musim panas yang lalu.

Namun Milner membuktikan dirinya sebagai pemain paling cergas dalam kem Liverpool ketika pra musim, dan membuktikan dirinya sebagai sebahagian dari komponen penting di dalam pasukan Liverpool musim ini.

Ketika Fabinho memerlukan lebih masa untuk menyesuaikan diri dengan bola sepak Inggeris, dan Jordan Henderson memerlukan lebih banyak masa rehat selepas Piala Dunia, khidmat Milner jelas tidak mengecewakan.

(Photo by Matthew Ashton – AMA/Getty Images)

Berada di dalam kesebelasan utama dalam tiga perlawanan, Milner menjaringkan gol melalui sepakan penalti dalam perlawanan mentang Crystal Palace.

Ketika berhadapan dengan Brighton, pressing yang dilakukan terhadap Yves Bissouma adalah punca kepada gol kemenangan oleh Mohamed Salah.

Aspek kepimpinan adalah satu lagi kualiti Milner yang bernilai untuk Liverpool.

Rumusan

Milner, Wijnaldum, Robertson dan Gomez adalah wira tidak didendang Liverpool setakat ini.

Kredit juga harus diberikan kepada Klopp yang mampu menyatukan semua pemain sebagai sebuah pasukan untuk misi mengejar misi yang sama.

Kejuaraan liga mungkin masih jauh dari genggaman. Tetapi jika pemain-pemain ini mampu mengekalkan prestasi masing-masing untuk membantu pasukan, tidak mustahil trofi kejuaraan EPL akan ke EPL buat pertama kali dalam sejarah 26 tahun pertandingan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN