Musim untuk siri permainan video mencipta kemunculan edisi baharu mereka kini telah kembali lagi.
Terbaharu, siri tahunan dari EA Sports iaitu FIFA muncul dengan siri baharu mereka untuk tahun ini iaitu FIFA 19.
Salah satu perkara yang menjadi tumpuan dalam siri ini buat beberapa tahun ini selain daripada FIFA Ultimate Team dan Career Mode adalah siri ala drama The Journey.
Bercakap di ekspo permainan video tahunan iaitu Gamescom, wakil EA Sports mendedahkan siri The Journey dalam FIFA 19 akan memberikan pengalaman bermain mod itu yang cukup berbeza kepada para pemain.
Dalam edisi kali ini, siri yang dinamakan sebagai The Journey: Champions akan menyaksikan 3 watak mempunyai perjalanan karier mereka.
Alex Hunter, adik beliau Kim Hunter dan juga Danny Williams akan mempunyai perjalanan karier masing-masing dalam siri ini.
Alex dan Danny akan mempunyai misi yang sama iaitu untuk menjulang kejuaraan Eropah dengan Alex menyertai kelab Real Madrid.
Sementara Danny pula masih berada di England dengan misi menyelamatkan kariernya yang terumbang ambing.
Bagi Kim pula, beliau mempunyai misi bersama pasukan kebangsaan wanita Amerika Syarikat iaitu ingin menjulang gelaran Piala Dunia Wanita 2019 bersama negaranya.
Menariknya, siri ini membolehkan anda bermain sebagai ketiga-tiga watak ini dalam 3 cerita berbeza dari permulaan siri.
Ianya berbeza dengan siri di FIFA 18 yang sebelum ini hanya membenarkan pemain memainkan watak Danny di episod 4 siri ini dan Kim dalam satu perlawanan sahaja sewaktu Alex bermain bersama LA Galaxy.
Bentuk episod tidak akan lagi digunakan kerana dalam FIFA 19, EA Sports menggunakan teknik garis masa (timeline) dalam mod ini.
Ianya bermula dari awal musim bola sepak Eropah hingga ke penamatnya.
The Journey: Champions merupakan siri pelengkap kepada trilogi The Journey.