10 Pemain Yang Merosot Pada Mulanya, Kemudian Berubah Menjadi Pemain Bintang

Syarat yang kami tetapkan dalam senarai ini adalah: pemain tersebut mestilah terkenal sebelum kariernya merosot, kemudian bangkit untuk menjadi pemain bintang.

Ini bermakna pemain-pemain seperti Francis Coquelin, Kevin Davies, Troy Deeney, Didier Drogba, Luca Toni atau Miroslav Klose yang tak terkenal ketika karier mereka merosot, tidak akan masuk dalam senarai ini.

Berikut adalah 10 pemain tersebut:

10. Hatem Ben Arfa (OGC Nice)

Hatem Ben Arfa adalah pemain pertama yang terlintas dalam fikiran kami ketika kami menulis senarai ini. Dilabel prodigi seawal umur 15 tahun ketika menyertai Lyon, Ben Arfa sudah membuat debut senior pada umur 17 tahun.

Meskipun berbakat besar, karier Ben Arfa dicemari masalah disiplinnya sendiri. Beliau kerap terlibat dalam pergaduhan dengan rakan sepasukan dan pengurus. Kariernya mula merosot ketika di Marseille dan Newcastle.

Selepas Newcastle, Ben Arfa pulang ke Perancis. Kini di OGC Nice, beliau beraksi cemerlang untuk membawa pasukannya ke tangga ke-3 liga Perancis ketika ini.

Di Nice, skill beliau masih tajam dan menakjubkan seperti yang anda boleh lihat dalam video di bawah.

9. Gervinho (AS Roma)

Bersama Eden Hazard dan Moussa Sow, Gervinho menjulang Lille menjadi juara liga Perancis buat kali pertama dalam 56 tahun dan Coupe de France. Dari Lille, Gervinho dititip oleh media Perancis akan menjadi bintang baru Arsenal.

Tetapi sepanjang masanya di Arsenal, penyokong Arsenal hanya mampu mengingati betapa gemarnya Gervinho ‘menggentel’ bola sehingga menyebabkan transisi serangan pasukan menjadi perlahan.

Pada musim 2013/2014, karier Gervinho kembali menyinar apabila berpindah ke AS Roma. Beliau menjaringkan 9 gol dan 11 assists pada musim sulungnya untuk membantu Roma menduduki tangga ke-2 Serie A.

8. Daniel Sturridge (Liverpool)

Daniel Sturridge sudah mula dicanang-canang oleh media Britain sebagai penyerang berbakat sejak umurnya 16 tahun ketika beraksi dalam FA Youth Cup 2006 bersama skuad akademi Manchester City.

Bagaimanapun karier Sturridge di skuad senior Manchester City dan kemudian Chelsea tidak menjadi seperti yang diharapkan penyokong dan media. Ramai yang menyalahkan kecenderungannya bermain secara solo dan malas bertahan.

Tetapi di Liverpool, Sturridge memberi inspirasi kepada jentera serangan pada musim 2013/2014, bersama Luis Suarez dan Raheem Sterling. Pada musim tersebut, Sturridge menjaringkan 21 gol dalam liga.

7. Lassana Diara (Portsmouth, Olympique de Marseille)

Dalam kes Lassana Diara, beliau terpaksa bangkit dua kali. Kali pertama, bangkit di Portsmouth selepas dibekukan Chelsea dan Arsenal. Kali kedua, bangkit di Marseille selepas ‘hilang’ di Russia.

Semasa di Portsmouth, Diarra memberi inspirasi kepada Portsmouth untuk menjulang FA Cup 2008. Di Marseille, Diarra dikatakan telah ‘mentransformasikan’ pasukannya sehingga melayakkan beliau dipanggil semula ke skuad kebangsaan Perancis.

6. Shinji Kagawa (Borussia Dortmund)

Populariti Shinji Kagawa naik mendadak apabila beliau menyerlah sepanjang 2 musimnya bersama Borussia Dortmund. Pada 2012, Kagawa dibawa ke Manchester United oleh Sir Alex Ferguson, dan meneruskan prestasi cemerlangnya.

Bagaimanapun semuanya berubah apabila David Moyes mengambil alih Manchester United. Kagawa jarang bermain dan kariernya merosot.

Pada musim 2014/2015, Dortmund datang menyelamatkan karier Kagawa. Kagawa membalasnya jasa Dortmund dengan 1 gol, 1 assist dalam debut keduanya, dan persembahan konsisten sehingga kini.

5. Andres Guardado (PSV Eindhoven)

Sebelum kariernya merosot di Valencia, Guardado merupakan bintang muda paling menarik yang pernah Deportivo la Coruna miliki.

Selepas gagal menyerlah di Valencia, karier Guardado melonjak naik apabila beliau dipinjamkan ke PSV Eindhoven pada musim 2014/2015 dan beliau beraksi cemerlang.

Untuk memujuk Guardado menjadi pemain PSV secara kekal, penyokong PSV membuat tifo bendera Mexico dengan mesej ‘Andres Guardado, helang emas Mexico kami’. Guardado kemudiannya berpindah ke PSV secara kekal dan kini merupakan naib kapten PSV.

4. Jerome Boateng (Bayern Munich)

Jerome Boateng mula popular apabila membentuk gandingan hebat dengan Vincent Kompany untuk membantu Hamburg SV menjadi pencabar kejuaraan Bundesliga dan Europa League.

Bagaimanapun karier Boateng mula menjadi merosot apabila disuruh bermain bek kanan ketika di Manchester City. Beliau hanya kekal semusim di England sebelum berpindah ke Bayern Munich, di mana beliau kini merupakan salah satu pertahanan tengah terbaik di dunia.

3. Diego Forlan (Villareal, Atletico Madrid)

Diego Forlan tiba di Manchester United pada musim 2002/2003 dengan reputasi sebagai penyerang muda Uruguay yang paling berbisa di Argentina. Tetapi beliau gagal bersaing dengan Ruud van Nistelrooy, Ole Gunnar Solksjaer dan kemudian Louis Saha.

Hanya selepas Forlan berpindah ke liga Sepanyol, barulah Forlan mengganas di depan gol.

Bersama Villareal, Forlan pernah berkongsi anugerah penjaring terbanyak Eropah dengan Thierry Henry. Bersama Atletico Madrid, Forlan menang UEFA Europa League dan UEFA European Super Cup.

2. Frederic Kanoute (Sevilla)

Frederic Kanoute mula menjadi terkenal di England apabila gandingan beliau dengan Paolo Di Canio dan 22 gol dalam masa 2 musim dipuji penyokong West Ham.

Apabila West Ham disingkirkan liga, Kanoute berpindah ke Tottenham Hotspur. Di sinilah karier Kanoute mula merudum.

Selepas 2 musim gagal bersama Tottenham, Kanoute berpindah pula ke Sevilla. Di sinilah Kanoute mencipta nama melalui gandingannya dengan Luis Fabiano untuk membantu Sevilla memenangi beberapa kejuaraan UEFA Cup, UEFA Super Cup dan Copa del Rey.

1. Dennis Bergkamp (Arsenal)

Pada usia 24 tahun, Dennis Bergkamp terkenal di Eropah melalui siri kejayaan yang diperolehinya di Ajax Amsterdam dan di Eropah. Selepas itu Bergkamp berpindah ke Internazionale, tempat di mana karier Bergkamp merosot.

Pengurus Arsenal ketika itu, Bruce Rioch menandatangani Bergkamp dan secara serta-merta, karier Bergkamp kembali mengalami peningkatan. Apabila Arsene Wenger tiba, Bergkamp berubah dari pemain bintang Arsenal kepada lagenda Arsenal.

Bersama Arsenal, Bergkamp diingati melalui gandingannya dengan Thierry Henry, teknik, skil, visi dan gol cantiknya.

Calon-calon lain: Ivan Campo, El-Hadji Diouf (Bolton Wanderes), Bojan Krkic, Ibrahim Afellay (Stoke City), Jordan Henderson (Liverpool), Thierry Henry (Arsenal)

Baca juga: 10 Fakta Bola Sepak Yang Kedengaran Seperti Tipu

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN