Pengurus baru skuad kebangsaan Cameroon, Clarence Seedorf menggugurkan pemain yang berpengkalan di China menjelang pusingan kelayakan African Cup of Nations (AFCON) pada 8 Seotember hadapan.
Bekas pemain antarabangsa Belanda itu mengugurkan dua pemain yang beraksi di China, dan melabel Liga Super China (CSL) sebagai liga yang tidak cukup kompetitif.
Bekas kapten pasukan kebangsaan Cameroon, Benjamin Moukandjo yang bersama Beijing Renhe dan pemain paling bernilai AFCON 2017, Christian Bassogog yang beraksi bersana Henan Jinaye adalah dua pemain yang digugurkan.
Kedua-dua pemain adalah tonggak utama Cameroon bergelar juara AFCON 2017.
Menurut Seedorf, pemain yang bagus hanya akan beraksi untuk kelab terbaik di eropah, dan tampil dalam pertandingan seperti UEFA Champions League.
“Kami mahu memberi fokus kepada pemain yang bermain di liga dan kelab utama.”
“Kami tidak akan mempertimbangkan mana-mana pemain berusia 20 tahun yang memilih untuk beraksi ke China atau tempat lain yang tidak boleh dikategorikan sebagai saingan kompetitif,”ujar Seedorf yang mencipta nama bersama AC Milan.
“Pemain muda yang bagus tidak akan ke China atau Asia. Pemain harus faham hakikat ini. Jika tawaran lumayan yang mereka kejar, maka mereka boleh lupakan panggilan untuk skuad kebangsaan.”
“Saya tidak menutup pintu kepada mana-mana pemain. Tetapi kami menuntut pemain yang memiliki disiplin dan sanggup bekerja keras. Jika ada mana-mana pemain yang kami rasa mampu memberikan sumbangan, maka kami akan memberikan panggilan,” tambah beliau lagi.
Senarai pemain oleh Seedorf turut melihat pemain berusia 26 tahun, Paul-Georges Ntep yang beraksi bersama Wolfsburg di Bundesliga berada di dalam senarai.
Ntep pernah beraksi bersama Perancis dalam dua perlawanan persahabatan pada 2015, dan dijangka akan mengubah haluan untuk menyertai Cameroon.
Tidak dapat dipastikan sekiranya permohonan telah dilakukan kepada FIFA oleh pihak Cameroon.
Pemain pertahanan OGC Nice, Adrien Tameze mendapat panggilan pertama untuk menyarung jersi pasukan kebangsaan Cameroon.
Tetapi tiada tempat untuk penyerang Olypique Marseille, Clinton Njie yang telah menjaringkan tujuh gol dari 22 penampilan Ligue 1 pada musim lalu.
Seedorf turut dilaporkan sedang melakukan rundingan dengan Nicholas Nkoulou yang bersama Torino untuk kembali beraksi di pentas antarabangsa.