Jose Mourinho dilaporkan terus mendapat sokongan lembaga pengarah Manchester United, walaupun kelab itu mengalami kekalahan memalukan kepada Brighton pada Ahad lalu.
Tewas 3-2 kepada lawan mereka itu, skuad kendalian Mourinho dikritik hebat dari seluruh dunia.
Malah Mourinho dicanang sebagai pengurus seterusnya yang akan dipecat, dengan bekas pengendali Real Madrid, Zinedine Zidane dikatakan sebagai calon pengganti pegurus dari Portugal itu.
Namun menurut satu sumber yang rapat dengan BBC berkata: “Mengapa kemungkinan Zidane untuk tiba di Old Trafford harus dibincangkan jika tiada jawatan kosong wujud di kelab itu?”
Mourinho dikatakan kecewa kerana gagal mendapatkan pemain yang dikehendaki pada jendela perpindahan musim panas yang lalu.
Selepas berjaya menandatangani pemain tengah Brazil, Fred dan juga bek sayap Diogo Dalot yang kemudian mengalami kecederaan, Mourinho dilaporkan turut mahukan seorang bek tengah dan alternatif kepada Anthony Martial di posisi sayap.
Namun demikian, lembaga pengarah kelab berpendapat tidak ada pemain di kedua-dua posisi yang berbaloi untuk dibeli masuk sehingga jendela perpindahan ditutup.
Terdapat pelbagai andaian di kem Manchester United pada ketika ini. Bekas penyerang Blacburn Rovers yang juga merupakan seorang pundit dengan BBC menyifatkan terdapat perpecahan sedang berlaku di dalam pasukan.
Pemain dilihat sebagai tidak memberi komitmen kepada arahan oleh pengurus ketika perlawanan. Ini menyebabkan kemarahan utama dari penyokong, kerana tidak pernah ada pemberontakan menentang pengurus berlaku di Old Trafford sejak dari zaman Sir Alex Ferguson.