Chelsea meneruskan rentak kemenangan dalam saingan Liga Perdana Inggeris 2018/19 selepas menundukkan Arsenal 3-2 pada aksi yang diklasifikasikan sebagai derbi London itu.
Keputusan itu juga menjadikan ia kekalahan kedua buat The Gunners dalam dua perlawanan yang telah dilalui pengendali baharu mereka, Unai Emery.
Keadaan yang cukup berbeza dihadapi Maurizio Sarri yang telah mengecapi dua kemenangan.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stamford Bridge itu, Chelsea tidak menunggu lama bagi membuka tirai jaringan seawal minit ke-9 menerusi Pedro Rodriguez.
Pedro yang tidak dikawal menerima hantaran lintang dari sebelah kanan pintu gol Arsenal dengan mudah menolak masuk bola menggunakan kaki kiri bagi menewaskan Petr Cech untuk membuka tirai jaringan.
Berselang 11 minit kemudian, The Blues mengukuhkan kedudukan dengan jaringan kedua yang dihasilkan Alvaro Morata.
Berpunca daripada hantaran jauh oleh ketua pasukan, Cesar Azpilicueta yang terus mencari rakan senegaranya itu, Morata meluru pantas dengan memperagakan kawalan bola menarik sekaligus meledakkan rembatan leret yang membocori gawang Arsenal.
Anak buah Unai Emery harus menyalahkan diri sendiri apabila beberapa gerakan cantik yang dicipta gagal disempurnakan dengan baik oleh Pierre-Emerick Aubameyang dan Henrikh Mkhitaryan.
Namun begitu, usaha mereka akhirnya membuahkan hasil apabila Mkhitaryan menebus kesilapannya dengan rembatan leret dari luar kotak penalti gagal dihalang penjaga gol termahal dunia, Kepa Arrizabalaga pada minit ke-37.
Jaringan tersebut nyata meningkatkan moral para pemain untuk sekali lagi membolosi gawang Chelsea berselang empat minit kemudian.
Kali ini giliran Alex Iwobi yang menyambar hantaran leret dari sebelah kiri dilakukan Mkhitaryan bagi kembali menyamakan kedudukan.
Kebangkitan berterusan yang diharapkan oleh Arsenal tidak berupaya dikekalkan pada babak kedua.
Bagaikan mendapat tonik berguna dari Sarri di bilik persalinan, Chelsea sebaliknya melangkah pada babak kedua dengan aksi yang lebih kemas.
Kawalan permainan menarik serta beberapa kali cuba untuk mengkucar-kacirkan benteng pelawat menghiasi permainan selepas perlawanan bersambung.
Kemasukan serentak Eden Hazard dan Mateo Kovacic ternyata menambah kreativiti buat Chelsea dalam usaha memburu jaringan dan usaha tersebut membuahkan hasil pada minit ke-81.
Menerusi gerakan lincah Hazard dari kawasan sayap, beliau bijak melorongkan bola buat Marcos Alonso yang dengan tenang menolak masuk bola bagi jaringan kemenangan buat Chelsea.
Tanpa sebarang mata diperoleh dalam dua perlawanan menjadikan ia sebagai permulaan terburuk buat Arsenal dalam tempoh 26 tahun buat kelab London ini.