TMJ: “Bola Sepak Malaysia Kekurangan Individu Berkebolehan Dalam Bola Sepak”

Saya tiba di Hotel St. Regis yang terletak berdekatan dengan KL Sentral tepat jam 2.30 petang.

Hotel yang cukup mewah dan saya jelas mengalami kesukaran untuk sampai ke lokasi forum iaitu di Bilik Ringgit 2 yang terletak di tingkat 2.

Namun hasil dari pertolongan staf hotel, saya berjaya sampai dan mula bersedia untuk sidang media pada jam 3 petang.

Sidang media yang dijadualkan hanya melibatkan Tunku Mahkota Johor (TMJ) dan juga pihak media itu tidak berlangsung seperti diharapkan.

Pihak media mendapat khabar yang TMJ tidak dapat hadir ke Kuala Lumpur kerana terdapat urusan di Johor. Namun, baginda tetap akan meneruskan forum bersama penyokong menerusi sidang video.

Masa dilajukan ke 5 petang, pada waktu itu dijadualkan sidang video akan bermula.

Namun seperti menjadi kelaziman aktiviti di Malaysia, jarang berlangsung tepat pada masa. Sidang video hanya bermula pada jam 5.30 petang kerana masa dihabiskan untuk mempersiapkan panggilan video dan sebagainya.

Jam 5.30 petang, wajah TMJ tersiar di layar besar dan penyokong sudah mula hadir untuk mengajukan soalan.

Isu pertama yang dibangkitkan penyokong adalah mengenai isu jadual Liga Malaysia yang dilihat tidak teratur.

Penyokong pertama yang mewakili kelompok penyokong Selangor mempersoal kenapa Malaysia Football League (MFL) tetap meneruskan perlawanan akhir Shopee Piala FA yang bertembung dengan Piala Dunia.

TMJ dalam jawapannya turut menyatakan rasa tidak puas hati mengenai penjadualan liga.

“Saya banyak kali katakan kepada MFL untuk perbaiki jadual,” kata TMJ.

Namun dalam jawapannya, TMJ menegaskan beberapa faktor memainkan peranan kepada perubahan jadual seperti faktor cuaca dan juga isu lampu limpah stadium.

Bagi perlawanan akhir Piala FA, TMJ menerangkan perlawanan itu diteruskan juga kerana tiada permintaan dari Selangor dan Pahang untuk menangguhkan perlawanan itu.

Kata TMJ, jika tiada sebarang permintaan maka MFL tidak akan melakukan perubahan.

Isu lain yang menjadi perhatian adalah mengenai isu penurunan kehadiran penyokong ke stadium.

Dalam jawapan TMJ, baginda mengakui ini adalah kesan kepada keputusan untuk mendengar permintaan penyokong yang mahukan siaran langsung yang lebih.

“MFL kini berada dalam dilema. Apabila diberikan siaran langsung kepada semua perlawanan, kehadiran penyokong ke stadium pula menurun.”

TMJ mengatakan MFL kini sedang mengkaji isu tersebut.

Satu isu menarik yang diketengahkan dalam forum tadi adalah mengenai isu marquee player.

Menurut TMJ, peraturan tersebut tidak dapat dilaksanakan di Liga Malaysia kerana kekangan kewangan.

Hatta pasukan seperti JDT juga tidak mampu untuk mendapatkan marquee player.

TMJ juga sempat mempersoal tindakan Perak yang ingin mendapatkan bekas bintang Brazil – Ronaldinho.

“Anda rasa Ronaldinho boleh ke hidup di Ipoh?”

“Berapa banyak kelab malam ada di sana? Di Ipoh pusat karaoke banyaklah.”

Baginda berkata demikian berdasarkan pengalaman JDT menjaga pemain seperti Pablo Aimar.

“Dulu, Pablo Aimar tidak mahu duduk di Johor Bahru yang sedang membangun. Tetapi beliau nak duduk di Singapura.”

Kata TMJ, fasiliti bertaraf dunia juga tidak mencukupi untuk membawa seorang marquee player.

Sebaliknya, persekitaran sekeliling bandar pasukan tersebut turut memainkan peranan.

Tetapi, jika satu hari nanti pasukan Liga Malaysia mampu mendapatkan marquee player ianya tidak menjadi masalah buat baginda.

TMJ juga menjawab beberapa soalan mengenai JDT dalam forum ini.

Baginda ditanya adakah JDT menjadi punca Liga Malaysia tidak lagi kompetitif?

Dakwaan itu disangkal oleh TMJ kerana JDT belum lagi mendominasi liga sepenuhnya.

“Kalau betul JDT mendominasi liga, JDT tak akan kalah kepada MIFA yang berada di divisyen 2 dan juga Kelantan yang bermasalah semalam.”

TMJ memberikan contoh Serie A dalam menjawab persoalan ini.

“Juventus sudah 5,6 kali juara Serie A. Tetapi adakah pasukan lain mengadu mengenai ini?”

“Tidak, sebaliknya mereka memperbaiki diri mereka. AC Milan membawa masuk pelabur baharu untuk baiki pasukan. AS Roma ada cara mereka dalam usaha untuk tewaskan Juventus.”

Selain itu, TMJ mengakui keutamaan JDT adalah saingan liga sementara Piala FA dan Piala Malaysia adalah perkara kedua.

Hal ini juga mendorong kepada bagaimana JDT mendapatkan pemain.

“Ada yang kata JDT rosakkan pasaran pemain, tidak. JDT dapatkan Safawi Rasid dengan gaji yang rendah.”

“Saya bayar Safawi RM12 ribu, tetapi apa yang buatkan beliau mahu ke JDT?”

“Ianya kerana fasiliti yang bagus, selain itu saya tawarkan bonus sekiranya JDT menang.”

“Dalam masa yang sama saya jamin pada beliau yang 1 piala akan diperoleh setiap musim selain berpeluang bermain di peringkat Asia.”

Persoalan lain yang menarik perhatian adalah mengenai Mahmadou Sumareh dan juga Liga FAM.

TMJ mengatakan MFL dan FAM sentiasa mengutamakan pemain tempatan untuk mewakili skuad negara.

Namun begitu, TMJ memberitahu yang MFL dan FAM ada menubuhkan satu pasukan khas untuk mengkaji isu pemain naturalisasi.

Photo by : Norazmi Ibrahim | www.asiana.my

Misinya adalah supaya pemain naturalisasi boleh dikira sebagai pemain tempatan dalam skuad kebangsaan dan dalam pasukan liga.

TMJ juga mengakui kekurangan dari pihak MFL dalam mengangkat Liga FAM.

Baginda berkata kekurangan dana dan juga kakitangan membuatkan tumpuan terhadap liga tersebut diketepikan dahulu.

Di akhir forum, TMJ menyatakan yang bola sepak Malaysia kini sedang menuju ke arah yang betul untuk berjaya.

Namun begitu, masih banyak perkara yang perlu dibetulkan.

Baginda mengatakan yang bola sepak Malaysia sebenarnya mengalami kekurangan individu yang betul-betul mahir dalam industri bola sepak.

“Bola sepak Malaysia ini kekurangan orang yang benar-benar boleh berkerja dalam industri bola sepak.”

“Mereka yang ada sekarang ini hanya mahukan jawatan tapi kerja tak mahu buat.”

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN