Hari ini skuad bawah 23 tahun negara berdepan cabaran yang sebenar apabila dijadualkan bertemu pasukan pilihan, Korea Selatan pada perlawanan kedua di peringkat kumpulan acara bola sepak Sukan Asia 2018 di Bandung, Indonesia.
Pengendali skuad negara, Datuk Ong Kim Swee mengakui Korea Selatan memiliki kekuatan di semua posisi malah pemainnya termasuk di bangku simpanan adalah berkualiti tinggi.
Mereka juga turut membarisi 3 pemain senior yang beraksi dalam kejohanan Piala Dunia di Russia bulan lalu termasuk bintang Tottenham Hotspur, Son Heung Min.
“Kita tahu kualiti yang dimiliki oleh Korea Selatan berada di tahap yang berbeza kerana semua 20 pemain yang mereka bawa ke temasya kali ini memiliki kualiti seimbang.
“Meskipun mereka turut mempunyai pemain hebat seperti Son Heung-min tetapi saya tidak mahu terlalu fokus terhadap kawalan individu terutama selepas mereka menang besar ke atas Bahrain,” kata Kim Swee kepada Utusan Malaysia.
Kali terakhir skuad bawah 23 tahun negara bertemu Korea Selatan ialah ketika di peringkat suku akhir kejohanan AFC B-23 di China dimana skuad negara tewas tipis 1-2.
Kim Swee juga percaya momentum kemenangan 3-1 ke atas Kyrgyztan semalam mampu diteruskan.
Katanya, fokus utama akan diberikan terhadap aspek serangan balas pantas selain memperkemaskan benteng pertahanan bagi mengelakkan gawang negara dibolosi.
“Bagi saya, tiada yang mustahil dalam bola sepak cuma beberapa perubahan aspek taktikal perlu dilakukan terutama dari segi serangan balas pantas,” katanya.
Rombakan kecil mungkin akan dilakukan kepada kesebelasan utama kerana beberapa pemain termasuk Dominic Tan dan penyerang Akhyar Rashid mengalami kecederaan ringan.
“Saya akan teliti dahulu tahap kecergasan mereka hingga saat terakhir kerana enggan mengambil sebarang risiko ke atas pasukan, jika cergas mereka akan beraksi.
“Pemain perlu terus fokus dan sedar bahawa hanya satu mata diperlukan untuk melayakkan mereka ke pusingan seterusnya,” kata Kim Swee.
Malaysia mengumpulkan 3 mata dalam satu perlawanan setakat ini dan berada di tangga kedua dalam kumpulan E dibelakang Korea Selatan. Sekurang-kurangnya keputusan seri perlu diburu bagi mencerahkan peluang ke pusingan yang seterusnya.