Kegagalan skuad bawah 23 tahun negara (B-23) menyempurnakan beberapa peluang terhidang ketika aksi pembuka Kumpulan E acara bola sepak Sukan Asia 2018 menentang Kyrgyzstan semalam telah membangkitkan rasa tidak puas hati daripada pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee.
Walaupun skuad negara mengutip 3 mata penuh dengan jaringan 3-1 tetapi Kim Swee berpendapat jumlah jaringan juga sama penting kerana ia akan menentukan hala tuju pasukan untuk melangkah ke pusingan yang seterusnya.
“Bagi saya tiga mata adalah sesuatu yang penting, begitu juga jumlah jaringan namun secara keseluruhannya persembahan kita nampak kurang berkesan.
“Kita dibolosi pada babak kedua selepas menguasai babak pertama perlawanan dan beberapa ketika kita kehilangan bola, ini adalah sesuatu yang harus kita perbaiki menjelang perlawanan kedua nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Gandingan trio penyerang negara Safawi Rasid, Syafiq Ahmad dan Akhyar Rashid jelas berbahaya dan berjaya melaksanakan tugasan mereka dengan baik apabila bijak memanfaatkan peluang di hadapan gawang lawan.
Skuad Kyrgyzstan turun dengan formasi 4-4-2. Manakala pasukan negara mempertaruhkan formasi 3-5-2 yang sudah sinonim dengan pasukan kendalian Datuk Ong Kim Swee.
10 minit pertama perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan cuba mengawal bahagian tengah. Agak menarik untuk melihat corak permainan pasukan lawan.
Ketika memiliki penguasaan bola, pasukan ini berada di dalam bentuk 4-4-2/4-4-1-1, dan berubah menjadi 4-2-4 yang kompak ketika lawan memiliki penguasaan bola.
Malaysia akan menghadapi Korea Selatan pada hari esok. Skuad Korea kali ini diperkuatkan oleh 3 pemain yang beraksi di Kejohanan Piala Dunia di Russia bulan lalu termasuk bintang Tottenham Hotspur, Son Heung Min.