Son Heung-Min mungkin telah mencuri tumpuan dari cabaran Korea Selatan dalam acara bola sepak di Sukan Asia 2018.
Pemain Tottenham Hotspur itu tiba di Indonesia dengan misi meraih emas untuk negaranya, dalam usaha untuk dikecualikan menghadiri program khidmat negara.
Misi serampang dua mata itu turut dikongsi oleh dua lagi rakan, penjaga gol Jo Hyeon-woo yang cemerlang di hadapan gawang ketika saingan Piala Dunia bulan lalu, dan penyerang Hwang Ui-jo yang turut sama menyertai skuad B-23 Korea Selatan.
Ketiga-tiga pemain hadir ke Indonesia sebagai pemain lebih umur dalam pertandingan kali ini.
Dalam perlawanan pertama semalam, Son dan rakan-rakan tentu boleh menarik nafas lega selepas mencatat kemenangan yang meyakinkan.
Son yang baru menyertai skuad Korea pada minggu ini tidak beraksi, dan sekadar menonton perlawanan dari bangku pemain simpanan.
Dan Korea Selatan hanya memerlukan Hwang Ui-jo ,Kim Jin-ya, Na Sang-ho dan Hwang Hee-chan untuk memastikan Korea Selatan memintas Malaysia selaku pendahulu Kumpulan E, selepas skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee terlebih dahulu mencatatkan kemenangan 3-1 ke atas Republik Krygyzstan pada sebelah petang.
Korea Selatan tidak menunggu lama untuk berada di hadapan apabila penyerang Gamba Osaka, Hwang pantas meletakkan pasukannya di hadapan pada minit ke-17 perlawanan.
Enam minit kemudian, Kim menggandakan pendahuluan selepas menyambar bola muntah di hadapan gawang.
Hwang menjaringkan gol kedua peribadi dalam perlawanan ini untuk menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-36, sebelum melengkapkan hatrik dengan menolak masuk bola dari sudut sukar di minit akhir babak pertama untuk Korea Selatan selesa mendahului 5-0.
Na Sang-Ho sempat menjaringkan satu gol sebelum Hwang melengkapkan hatrik dua minit sebelum itu.
Babak kedua menyaksikan Bahrain memiliki penguasaan bola yang lebih banyak selepas Korea Selatan mulai mengendurkan asakan.
Namun pasukan Timur Tengah itu gagal mengancam gawang lawan yang dikawal rapi oleh Jo.
Gol minit akhir oleh Hee-Chan melengkapkan pesta 6 gol oleh juara bertahan itu.
Malaysia akan bertemu Korea Selatan esok, di Stadium Jalak Harupat, Bandung pada jam 8 malam. Mampukah pasukan negara mengekang kemaraan Taeguk Warriors?
Anda boleh menyaksikan gol-gol jaringan Korea Selatan melalui pautan di bawah: