Selepas diumumkan sebagai ketua pasukan buat Barcelona pada musim ini, Lionel Messi nyata berbangga dengan pengiktirafan tersebut serta mengharapkan beliau mampu untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Andres Iniesta bagi mencipta lebih banyak kejayaan.
Bintang Barcelona itu juga melihat matlamat utamanya adalah bagi membawa kembali trofi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) ke Nou Camp selepas kali terakhir menjuarainya pada musim 2014/15.
Messi dilantik sebagai ketua pasukan Barcelona yang baharu selepas Iniesta meninggalkan The Blaugrana dan seterusnya memilih haluan ke Jepun untuk beraksi bersama Vissel Kobe.
Menurut sumber Goal, Messi jelas berbangga dengan tanggungjawab besar yang diberikan kepadanya itu.
”Pertama sekali, saya mahu mengatakan bahawa ia merupakan kebanggaan yang begitu besar buat saya untuk menjadi ketua pasukan (Barcelona).”
🔊 Leo #Messi: "It makes me very proud to be captain, I know what this Club represents and I have been fortunate to have great predecessors" 🙌🔵🔴 #GamperBarça pic.twitter.com/nUQQ4z2ltv
— FC Barcelona (@FCBarcelona) August 15, 2018
”Saya tahu besar maksudnya untuk menjadi ketua pasukan buat Barcelona tetapi saya mempunyai guru-guru yang hebat seperti (Carles) Puyol, Xavi (Hernandez) dan Andres (Iniesta) yang hebat, yang akan kami rindukan pada musim ini.”
Dalam pada itu, Messi menjelaskan agenda utamanya musim ini adalah untuk kembali menjuarai saingan Liga Juara-Juara Eropah selepas tiga musim berturut-turut dimenangi musuh tradisi mereka, Real Madrid.
”Mengenai musim ni, saya merasakan kami perlu meletakkan satu platform untuk bersemangat, dengan rekrut baharu yang datang akan membantu kami untuk lebih baik dari sebelum ini.”
”Walaupun musim lalu kami menjuarai La Liga dan Copa del Rey, kami semua kecewa dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah.”
”Kami berjanji akan melakukan segala yang mungkin untuk kembali membawa trofi tersebut ke Nou Camp sekali lagi.”