Peminat Manchester United masih risau pemain penting mereka, Paul Pogba akan ke Barcelona dalam beberapa minggu ini.
Paul Pogba juga dilihat tidak menafikan akan khabar angin yang mengaitkan beliau dengan Barcelona.
Beliau kemudian tidak mahu komen akan perkara itu kerana ia menyalahi undang-undang dalam kontrak beliau.
Pogba menjadi watak yang ditunggu-tunggu peminat Manchester United setelah kembali dari Rusia 2018 sebagai juara dunia.
Barcelona mahukan Pogba
Barcelona mulai dikaitkan dengan Paul Pogba setelah ada khabar angin pemain itu kurang gembira dengan situasi yang ada di Manchester United.
Tidak pasti sama ada beliau tidak gembira dengan Jose Mourinho ataupun Ed Woodward dan pegurusan tertinggi kelab.
Ini adalah kali kedua Barcelona cuba mendapatkan pemain tersebut. Sebelum ini Mino Raiola dan Pogba dilaporkan tidak menepati janji.
Barcelona pernah meminta Raiola agar memaklumkan kepada mereka terlebih dahulu jika Juventus mahu menjual Pogba.
Namun ejen itu dan Pogba telah memilih untuk ke Manchester United yang menawarkan wang lebih besar.
Mino Raiola mainkan peranan besar
Manchester United berhadapan dengan kuasa ejen super iaitu Mino Raiola.
Ejen beliau, Mino Raiola menjadi watak yang sangat membimbangkan peminat United.
Musim lalu beliau secara terbuka mengkritik tindakan Man. United memberikan Sanchez gaji £550,000 seminggu di Old Trafford.
Kemudian Raiola mendesak agar Manchester United menaikkan gaji Paul Pogba agar sama denan Sanchez, paling tidak, pun naikkan hampir 2 kali ganda (kenaikan lebih £200,000 seminggu).
Alasan Raiola adalah, Paul Pogba merupakan pemain terbaik dalam pasukan Manchester United.
Mungkin beliau terlupa agaknya dengan David De Gea.
Pendirian Manchester United
Barcelona dilaporkan sedia menawarkan gaji £350,000 seminggu untuk Pogba. Tempoh hari, Barcelona menghantar bidaan wang tunai dengan ditambah Yerry Mina dan Andre Gomes.
Namun Manchester United tidak berfikir panjang untuk menolak bidaan itu.
Mino Raiola dilaporkan terbang ke London untuk membincangkan masa depan pemain itu selepas mendengar minta Barcelona.
Ia akan memberikan impak kepada kontrak Pogba. Sama ada Raiola mempengaruhi Paul Pogba dalam mendesak perpindahan itu ataupun mendesak Manchester United menstruktur semula gaji pemain itu jika mereka enggan menjual Pogba.
Raiola pastinya akan mendapat wang tambahan daripada perjanjian seperti ini. Dalam perpindahan Pogba ke Man. United sebelum ini, Raiola telah mendapat sekitar £23 juta secara keseluruhannya.
Musim lalu, Paul Pogba juga dilaporkan pernah tak sehaluan dengan pemain itu dan meletakkan Pogba di bangku simpanan. Dan ia juga membuatkan Raiola marah.
Dalam bola sepak moden hari ini kuasa ejen terutama sekali ejen super seperti Raiola sangat berpengaruh dalam mempengaruhi perpindahan pemain.
Di mana fikiran Pogba ketika ini?
Dalam perlawanan pembukaan EPL, Pogba menjadi kapten Manchester United dan menjaringkan gol menerusi sepakan penalti.
Pelbagai andaian dilakukan peminat ketika Pogba didakwa merampas tugasan penalti daripada Alexis Sanchez.
Selepas menjaringkan gol, tiada tarian keraian daripada Paul Pogba yang membuatkan ramai berandaian buat masa ini fikiran Pogba terganggu.
Jamie Carragher dan Phil Neville dalam ulasan mereka juga kehairanan dengan sikap Pogba.
Mereka melihat Sanchez meminta agar Pogba memberikan bola kepadanya, namun kapten itu enggan melakukannya.
Musim lalu, Pogba memberikan bola tersebut kepada Sanchez untuk menjaringkan gol walaupun tugasan itu diakui Mourinho harus dilakukan oleh Pogba ketika itu.
Tamat perlawanan menentang Leicester, Jose Mourinho menyatakan yang pasukan beliau tiada pengambil sepakan penalti utama, dan pemain akan berbicang sesama sendiri untuk mengambilnya.
“Kami tidak ada ‘designated taker’ untuk tugasan penalti. Saya (pengurus) akan meletakkan nama yang saya pilih, namun dalam perlawanan sebenar, kami akan memilih berdasarkan siapa kami rasa patut ambilnya.”
“Mungkin perlawanan seterusnya saya akan menetapkan agar Alexis pula untuk mengambilnya.”
Nada yang berbeza dalam musim lalu di mana Mourinho sangat tegas dengan isu penalti di mana, beliau meletakkan Martial sebagai pengambil utama sepakan penalti dan setiap pemain harus menghormatinya.
Dalam satu perlawanan menentang Basel, Lukaku sudah mengambil bola dan meletakkannya di atas titik penalti. Dan pemain lain kelihatan ‘merestuinya’.
Pada awalnya, Herrera dan Daley Blind dilihat masing-masing mahu mengambil penalti itu.
Namun selepas itu Herrera mendapat arahan agar Lukaku menghormati arahan teknikal pasukan dengan memberikan penalti itu kepada Blind.
Herrera bergegas ke arah Lukaku dan meminta pemain itu menyerahkan tugasan itu kepada Blind. Blind menyempurnakannya.
Tamat perlawanan, Mourinho jelas mahu setiap pemain tidak mengambil tindakan yang melanggar arahan teknikal beliau.
“Pengambil utama penalti pasukan kami ialah Martial dan beliau tiada di dalam padang. Dan beliau baru sahaja keluar.”
Mourinho kemudian memberitahu, selepas Martial adalah Daley Blind dan kemudian Ander Herrera serta pilihan lain adalah Paul Pogba.
Tiada alasan untuk Lukaku melangkau senarai tersebut jika nama-nama pemain itu ada dalam padang walaupun Lukaku mahu menjaringkan gol untuk menambah koleksi jaringan.
Pogba enggan ulas
Selepas membantu United menang ke atas Leicester, Sky Sports bertanyakan soalan panas kepada Pogba.
Pogba pula memberitahu yang beliau terpaksa menutup mulutnya daripada berbincang tentang beberapa perkara.
Sky Sports mengutarakan pertanyaan peminat sama ada Pogba tidak gembira dengan Mourinho ataupun dengan Woodward.
United sebelum itu sudah memberitahu pendirian mereka tidak mahu menjual Pogba pada sebarang harga walaupun ada laporan menyatakan Mino Raiola sudah berbincang dengan Barcelona tentang terma peribadi dalam kontrak yang sudah dipersetujui.
💣 Latest reports suggest Barcelona have agreed personal terms with Pogba! Agent Raiola working on €110m deal.@calciomercatoit pic.twitter.com/ugsUFqDqmt
— Adriano Del Monte (@adriandelmonte) August 6, 2018
Tamat perlawanan menentang Leicester, Mourinho melabel Pogba sebagai ‘raksasa’ di dalam padang dan tidak mampu disekat oleh pihak lawan.
Pogba berteka teki
Melihat beberapa bahasa tubuh Pogba yang seakan-akan pasif di dalam padang serta tidak meraikan gol, wartawan Sky Sports kehairanan dan bertanya, ‘mana Pogba sebenar?’
Pogba menjawab soalan itu dengan berkata:
“Apa maksud kamu dengan ‘Pogba sebenar’?”
“Anda harus faham satu perkara, pemain yang dipilih bermain mereka akan gembira, lebih selesa, itu sahaja.”
“Jika kamu tak gembira, macamana kamu mahu memberikan yang terbaik di dalam padang.”
Pogba sangat terbuka dalam menyuarakan pandangan beliau dan menyatakan sebagai pemain, tiada alasan untuk tidak memberikan yang terbaik setelah dipilih bermain dalam perlawanan.
Ditanya tentang laporan tentang masa depan beliau yang sedang bertebaran, Pogba berkata:
“Ada beberapa perkara berlaku, dan ada beberapa perkara juga yang saya tak boleh luahkan ataupun saya akan didenda (oleh kelab).”
Ditanya tentang perasaan beliau menjadi kapten, Pogba berkata:
“Saya akan sentiasa berkomunikasi dengan rakan-rakan walaupun tidak memakai lilitan kapten.”
“Saya sentiasa cuba sedaya upaya untuk membantu pasukan seperti mana mereka membantu saya.”
“Bukannya, selepas mendapat lilitan kapten saya terus berfikir mahu menunjukkan yang saya kapten sebenar dan cuba menunjukkan saya bekerja lebih keras.”
“Saya sentiasa cuba menjadi diri sendiri dan melakukan apa yang saya tahu dan apa yang saya boleh lakukan.”
Tidak lama selepas itu, Paul Pogba memuat naik status di instagram yang beliau akan sentiasa cuba melakukan yang terbaik di dalam padang, tidak kiralah apa yang sedang berlaku.
Pogba jelas sekali tidak mahu memberikan jaminan yang beliau mahu kekal di United buat masa ini. Beberapa minggu sebelum September ini akan menjadi sangat penting untuk Pogba dan Manchester United.
Ini kerana Barcelona masih boleh mendapatkan Pogba walaupun jendela perpindahan EPL sudah ditutup.
Pastinya peminat Manchester United berharap isu ini akan segera diselesaikan dan Paul Pogba menyatakan komitmen beliau kepada pasukan.