Selepas musim pertama di AC Milan yang kurang memberangsangkan, Andre Silva kini kelihatan semakin hampir untuk dipinjamkan ke kelab La Liga, Sevilla.
Di samping kurang menyerlah pada musim lalu, kehadiran Gonzalo Higuain ke dalam pasukan juga turut menjadi penyebab utama membuatkan Silva untuk meninggalkan seketika San Siro.
Menurut sumber Goal, Silva dikhabarkan akan dipinjamkan selama setahun dengan nilai hampir €5 juta serta pilihan pembelian secara tetap turut termasuk dalam perjanjian tersebut.
Sevilla dilaporkan berpeluang untuk mendapatkan khidmat Silva secara tetap dengan nilai €30 juta pada bulan Jun tahun hadapan.
Silva juga turut diketepikan dari skuad AC Milan yang akan bertemu Real Madrid pada perlawanan Copa Bernabeu hari ini.
Pengarah Sukan AC Milan, Leonardo turut secara terbuka mengulas mengenai masa depan Andre Silva di Milan.
”Kemungkinan untuk dia meninggalkan pasukan itu ada, kami akan melihat ke pasukan mana dan bagaimana.”
Andre Silva hanya menjaringkan dua gol dalam 24 penampilan buat AC Milan dalam saingan Serie A 2017/18.
Namun, sumbangannya dalam saingan Liga Europa sedikit berkesan apabila telah mencipta enam jaringan untuk membantu Rossoneri melayakkan diri ke peringkat 16 terbaik sebelum kecundang di tangan Arsenal.