Adakah bola sepak akan kembali juga ke England?
England kini dikatakan sedang menimbangkan kemungkinan untuk membida untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia edisi 2030.
Menurut laman BBC Sport, FA England telah pun mengambil keputusan untuk membida hak sebagai tuan rumah Piala Dunia.
Pihak FA England telah bersetuju untuk melakukan gerak kerja untuk bidaan tersebut, namun ianya tertakluk sekiranya bidaan tersebut praktikal atau tidak.
Hal ini kerana, kajian menyeluruh akan dilakukan terlebih dahulu dan mereka tidak akan melakukan sebarang keputusan sebelum tahun 2019.
Gerak kerja itu dimulakan seawal pada musim baharu ini oleh pihak FA England.
England mempunyai keyakinan untuk memenangi bidaan ini selepas mereka melihat proses undian yang lebih telus untuk Piala Dunia 2026.
Mereka sebelum ini dikecewakan oleh Rusia ketika usaha menjadi tuan rumah Piala Dunia 2018.
Jika benar England mahu membida untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2030, mereka dijangka menerima tentangan dari negara seperti Argentina, Uruguay dan Paraguay.
Signifikannya, Piala Dunia 2030 menandakan sambutan 100 tahun Piala Dunia yang pertama kali diadakan di Uruguay pada 1930.
Piala Dunia 2026 menyaksikan buat pertama kalinya 3 buah negara menjadi tuan rumah bersama iaitu Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.
Sebelum ini, Jepun dan Korea Selatan menjadi tuan rumah pertama yang terdiri dari 2 negara pada 2002.
England mempunyai rekod menjadi tuan rumah Piala Dunia pada 1966 serta tuan rumah EURO pada 1996.