Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) dan Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) telah memberikan jaminan keselamatan terhadap keselamatan buat Amirul Ashrafiq Hanifah dan skuad B-16 tahun kebangsaan di Surabaya, Indonesia.
Keadaan menjadi semakin tegang selepas pelbagai ugutan telah dilemparkan kepada pemain muda negara itu berikutan kesilapan yang dilakukan di instastory miliknya.
Amirul kemudiannya telah membuat permohonan maaf di akaun instagram yang mengakui kesilapan dilakukan.
Sehubungan dengan ancaman yang diterima, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Dato’ Haji Hamidin Haji Mohd Amin telah menghubungi Naib Presiden PSSI, Joko Driyono serta Setiausaha Agung, Ratu Tisha Destria.
Setiausaha Agung AFF, Dato’ Sri Azzuddin Ahmad turut dihubungi bagi membincangkan isu yang boleh dikatakan agak serius ini kerana ia melibatkan ancaman terhadap keselamatan pemain serta pasukan negara.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan FAM menerusi Setiausaha Agung, Stuart Ramalingam, ketiga-tiga individu penting tersebut telah berjanji bahawa Indonesia selaku tuan rumah manakala AFF sebagai penganjur akan memastikan keselamatan Amirul, para pemain lain serta pegawai skuad negara akan terjamin sepenuhnya sepanjang berada di Surabaya.
Dalam pada itu, AFF dan PSSI turut mengharapkan agar skuad kebangsaan tidak terlalu risau dengan ugutan yang diberikan pihak tidak bertanggungjawab setelah tahap keselamatan telah dipertingkatkan.
Diharapkan dengan jaminan keselamatan yang telah diberikan ini dapat meningkatkan moral para pemain yang sudah pasti sedikit terjejas dengan masalah yang sedang dihadapi.
Mereka juga perlu kekal fokus bagi memburu kejuaraan sekaligus mengikuti jejak langkah skuad B-19 tahun yang menjuarai kejuaraan AFF tempoh hari.
Foto: FAM