Jose Mourinho sekali lagi mendidih dalam sidang media. Musim lalu beliau secara terbuka menyatakan yang beliau sudah menghantar senarai sasaran perpindahan pada Mac 2017 sebelum musim berakhir.
Namun yang mengecewakan Mourinho Ed Woodward ketika itu sempat bercuti ke luar negara tanpa menyegerakan urusan perpindahan selepas mendapatkan Lukaku.
United terlibat dalam jendela perpindahan lewat dan mujur mereka berjaya mendapatkan Matic.
Skrip yang sama berlaku musim ini. Beberapa hari lalu Mourinho memberitahu secara terbuka beliau mahukan sekurang-kurangnya 2 pemain baru lagi di dalam pasukan.
Beliau juga menyatakan, jika kelab tidak dapat 2 pemain yang beliau mahukan, Nemanja Matic harus bersedia untuk bermain menjadi pertahanan pada musim yang baru.
Ia memberikan gambaran yang United benar-benar mahukan pertahanan baru. Antara pemain yang dikaitkan ialah Harry Maguire dari Leicester City.
Dalam sidang media selepas tewas 4-1 di tangan Liverpool pada pra-musim, Mourinho sekali lagi mengkritik dengan terbuka barisan pengarah sukan dan pengurusan tertinggi terutama sekali Ed Woodward.
Manchester United hanya mendapatkan Diogo Dalot yang merupakan pemain remaja. Seterusnya Lee Grant atas kapasiti penjaga gol sandaran (back-up). Hanya Fred sahaja pembelian pemain utama dalam pasukan.
Mourinho memberitahu yang Manchester United perlukan tambahan pemain berkualiti untuk menyaingi jiran mereka Manchester City.
“Saya mahukan 2 pemain lagi. Dan rasanya saya tak akan dapat dua (pemain).”
“Jadi, saya rasa tak mustahil untuk dapatkan seorang. Adan untuk nama seorang itu, saya sudah tulis nama dia di antara 5 pemain sasaran saya. Senarai itu saya serahkan beberapa bulan lalu.”
“Kita tunggu dan lihat sahajalah, sama ada dapat atau pemain ini ataupun beberapa pemain lagi.”
“Jika dapat, maka dapatlah, jika tak dapat, tak dapatlah.”
“Kalau dapat, baguslah, jika tidak, bermakna kami harus berjuang dan bekerja keras dan pecayakan pemain-pemain yang kami ada.”
Mourinho tidak mahu mencampurkan nama-nama pemain sedang bercuti sebagai tambahan kualiti kepada pasukan. Ini kerana pemain tersebut memang sedia ada dalam pasukan dan pemain-pemain ini lebih kepada menguatkan semula pasukan.
“Mereka tiada dalam kaitan (dengan penambahan kualiti pasukan). Mereka adalah penguat semula pasukan (apabila kembali). Pogba, Fellaini, Lindelof, Rashford, Lingard, Matic, Valencia. Mereka ini penguat semula pasukan.”
Mourinho juga memberitahu yang Matic akan terlepas banyak aksi awal musim 2018/19.
“Matic menjalani pembedahan. Sudah pastinya dia terlepas perlawanan-perlawanan pada awal musim. Saya tidak tahu berapa lama dia akan disisihkan.”
Bercakap tentang kekalahan di tangan Liverpool, beliau menyatakan yang United tidak menurunkan pasukan utama mereka.
“Ini bukan pasukan kami, bukan skuad kami yang sebenar. Mereka hanyalah pasukan ‘budak-budak’ kami menentang pasukan utama Liverpool.”
“Kami memulakan perlawanan dengan separuh daripada pemain ini tidak bermain pun dalam skuad kami pada 9 Ogos ini.”
“Tadi anda tanya sama ada saya nakkan pemain baru ataupun tidak, walaupun itu soalan lain, namun perkaitannya dengan hari ini, dalam perlawanan hari ini, kami ada 4 atau 5 pemain (senior) yang ‘mati’ kerana mereka berjuang demi pasukan dan cuba memberikan segalanya, bahkan merisikokan diri mereka.”
“Ini kerana mereka tidak mahu hanya membiarkan ‘budak-budak’ kami yang bermain pada perlawanan menentang AC Milan dan Liverpool.”
“Kita bermain bukan untuk memperbaiki aksi pasukan ataupun dinamik pasukan mahupun rutin. Tetapi lebih kepada cuba untuk ‘survive’ dan mendapatkan keputusan yang tak teruk sangat.”
Mourinho membidas segelintir pihak yang mengkritik aksi Alexis Sanchez.
“Alexis satu-satunya pemain penyerang yang kita ada. Kita tiada pemain sayap, kita tiada penyerang. Dia satu-satunya yangkita ada, pemain yang bertungkus-lumus memberikan yang terbaik, dengan kekecewaan beberapa orang yang terlalu meminta lebih.”
“Menentang Milan, beliau bermain sangat baik dan beliau cuba yang terbaik hari ini. Anda silap jika anda kata beliau tak gembira bersama pasukan ini.”
“Jika dia tak gembira dengan pasukan ini, dia tak akan bermain selama 90 dan 85 minit dalam 2 perlawanan.”
Ditanya tentang pandangan beliau tentang suasana yang penuh di dalam stadium pada perlawanan ini, Mourinho berkata:
“Atmosfera luar biasa hari ini, namun kalau saya di tempat mereka, saya tak akan belanjaka wang saya untuk menyaksikan pasukan seperti ini.”
Mourinho kagum dengan semangat penyokong yang datang demi pasukan mereka pada hari ini.
“Sebagai contoh, saya akan menonton Chelsea vs Inter di televisyen. Ada orang merasakan adalah lebih baik ke pantai, jadi stadium akan kosong.”
“Mereka (penyokong) sangat sayangkan kelab mereka. Mereka datang untuk menyaksikan kelab mereka. Itu hebat sekali dan sebab itu pemain seperti Herrera bermain bersungguh-sungguh sebagai menghargai penyokong yang datang.”
“Jelas sekali suasana luar biasa. 2 gol luar biasa daripada Pereira dan Shaqiri. Namun mereka silap pilih pengadil. Pengadil dipanggil oleh kesatuan baseball dan ingatkan ini adalah perlawanan baseball.”
“Pengadil tiba di stadium dan baru sedar ini adalah perlawanan ‘soccer’. Apapun ianya perkara yang menyeronokkan.”