Gennaro Gattuso memberitahu wartawan yang beliau tergelak ketika diberitahu tentang berita dia bakal digantikan oleh Antonio Conte.
Menurut laporan Gazetta Dello Sport, Presiden AC Milan, Paolo Scaroni mahu melantik Antonio Conte sebagai pengurus baharu. Conte baru sahaja kehilangan jawatan beliau di Chelsea beberapa minggu lalu.
Selepas tamat perlawanan pra-musim menentang Manchester United di mana AC Milan tewas dalam penentuan penalti 9-8, Gattuso ditanya oleh wartawan di Amerika Syarikat tentang perkara tersebut.
Gattuso berkata:
“Berita ini membuatkan saya tergelak.”
“Saya tenang membacanya. Saya gembira kerana tuan Presiden ada menghubungi saya. Saya sentiasa menikmati ketenangan di tempat kerja saya setiap hari.”
“Saya tidak perlu gelabah untuk memperbaiki apa-apa kerana tiada apa yang rosak buat masa ini.”
Gattuso gembira dengan perlantikan Leonardo sebagai pengarah baru AC Milan.
“Saya gembira kerana berkerjasama dengan beliau sebagai pemain, dan kini sebagai jurulatih dan pengarah. Saya sangat menghormati beliau.”
“Kami berdua ada perselisihan di masa lalu, namun kami sudah pun berbaik beberapa tahun yang lalu.”
“Buat masa ini, keutamaan bukannya hubungan kami berdua tetapi untuk membawa Milan ke peringkat tertinggi sekali lagi.”