Ke mana anda Sabtu ini? Jika anda tidak punya sebarang perancangan, marilah hadirkan diri ke Universiti Putra Malaysia!
Kenapa perlu ke sana? Hal ini kerana, akan ada satu perlawanan bola sepak amal yang dikenali sebagai Alumni4Asnaf anjuran Pusat Alumni UPM dengan kerjasama Pusat Sukan UPM.
Perlawanan Alumni4Asnaf ini diantara Alumni UPM dan juga penyampai radio serta staf Hot FM & Kool FM.
Apa yang menarik mengenai perlawanan ini ianya turut akan dihadiri oleh beberapa individu yang cukup dikenali di negara kita.
Antaranya adalah pemain PKNS FC, Mahali Jasuli dan juga bekas raja pecut negara iaitu Nazmizan Muhammad turut akan melakukan penampilan bersama-sama pasukan Alumni UPM.
Mahali merupakan alumni UPM untuk tahun 2012 manakala Nazmizan merupakan bekas pelajar universiti ini untuk tahun 2006.
Mereka akan menentang pasukan pilihan Hot FM dan Kool FM yang turut dibarisi oleh para penyampai mereka seperti Shuk dan Fizie Hot FM dan juga Muaz serta Ezaq Kool FM.
Program Alumni4Asnaf ini diadakan dengan bertujuan untuk meraih sumbangan amal ke Tabung Kebajikan Pelajar RM10 Juta yang akan digunakan untuk membantu para pelajar di UPM.
Selain itu, program ini diadakan sebagai langkah untuk menjalin hubungan erat antara bekas pelajar UPM dan juga pihak universiti serta memupuk semangat memberi semula kepada universiti mereka selepas lama meninggalkan UPM.
Program ini akan diadakan pada Sabtu (28 Julai 2018) di Stadium UPM dan acara akan bermula pada jam 3.30 petang dengan kehadiran para jemputan.
Acara ini turut akan dihadiri oleh Menteri Besar Selangor iaitu Amirudin Shari yang merupakan salah seorang alumni UPM.
Ayuh sama-sama kita meriahkan acara ini, jumpa anda di sana!