Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kemungkinan tidak akan meniru sistem bola sepak Jepun dalam usaha meningkatkan mutu bola sepak negara.
Setiausaha agungnya, Stuart Michael Ramalingam berkata kepada pihak media mengakui sukar untuk FAM mengikut sepenuhnya sistem yang diamalkan oleh gergasi bola sepak Asia itu kerana perbezaan dari segi budaya dan industri.
“FAM sudah menandatangani MoU dengan J League beberapa tahun lalu dan saya akan lihat kandungannya tetapi saya beri jaminan kita tidak boleh ikut mereka secara keseluruhan.
“Jepun memiliki beberapa perbezaan termasuk budaya, sistem dan industri bola sepak mereka tetapi kita tetap akan ambil beberapa proses utama mereka.
“Beberapa mekanisma kita perlu bentuk mengikut cara Malaysia. Sudah pasti kita tidak akan tiru sepenuhnya pelan dari Jepun kerana terlalu sukar dan saya rasa kalau kita ambil pelan bulat-bulat dari Jepun, perancangan kita mungkin akan gagal,” katanya seperti dipetik dalam Berita Harian.
FAM menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Liga Bola Sepak Profesional Jepun (J League) pada tahun 2015 untuk menjalinkan kerjasama dalam program pertukaran, pemerhatian dan latihan untuk jurulatih, pengadil, pemain serta aspek fizikal, latihan, penjagaan kesihatan, pengurusan kejohanan, akademi dan pemasaran.
Difahamkan kerjasama itu juga membabitkan penganjuran perlawanan persahabatan antara kelab Liga Malaysia dengan J League serta mengadakan kem latihan bersama untuk skuad remaja kedua-dua negara.
Walaubagaimanapun menurut laporan daripada Berita Harian tersebut, Stuart menjelaskan FAM sudah pun memiliki pelan yang akan mengembalikan semula bola sepak negara ke tahap tertinggi.
“Pelan ini bukan angan-angan saja, ia pelan yang jelas dan terbaru. Kami akan bincang dalam exco untuk memestikan segala perancangan dapat diterjemahkan.
“Malah, dalam dua atau tiga bulan lagi kita akan adakan sesi bersama setiausaha persatuan negeri dan kelab iaitu ahli gabungan FAM. Pada pertemuan itu kita akan bincang segala masalah atau isu berbangkit.
“Semua negara ada masalah, tapi di Malaysia kita patut bersyukur kerana saya lihat semua pihak menyokong bola sepak negara termasuk pihak kerajaan. Jadi saya fikir kita mampu bangkit jika kita semua bekerjasama dalam satu arah,” katanya.