Perak terlepas peluang bagi mengesahkan kedudukan selaku naib juara unifi Liga Super Malaysia 2018 selepas seri tanpa jaringan bertemu Kedah di Stadium Perak, Ipoh sebentar tadi.
Separuh masa pertama
Aksi kurang bermaya dipamerkan kedua-dua pasukan pada 45 minit pertama permainan apabila hanya dua percubaan tepat yang berjaya dihasilkan.
Dua percubaan tersebut dicipta skuad bimbingan Mehmet Durakovic yang kini menghuni tangga kedua liga.
Perak hampir di depan pada minit ke-14 setelah Wander Luiz Bitencourt Junior menyempurnakan peluang susulan rembatan dari luar kotak penalti oleh Nasir Basharudin yang ditepis Mohamad Ramdhan Ab Hamid.
Bagaimanapun, jaringan tersebut dibatalkan selepas pemain import kelahiran Brazil itu terlebih dahulu dikesan ofsaid.
Selepas itu tidak banyak yang dapat diperkatakan mengenai aksi yang ditampilkan sehingga pada minit ke-42 setelah Gilmar Jose Da Silva Filho yang menerima lontaran ke dalam daripada Nasir.
Gilmar yang bertindak baik melakukan pusingan badan bagi melepasi kawalan pertahanan Kedah, melepaskan satu rembatan leret yang ditepis Ramdhan untuk perlawanan babak pertama terikat tanpa jaringan.
Separuh masa kedua
Persembahan pada babak kedua memperlihatkan sedikit peningkatan dengan tempo yang lebih laju serta percubaan-percubaan yang dilancarkan Perak dan Kedah.
Kedah dua kali mengancam ke kubu Perak menerusi percubaan daripada Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam dan Muhammad Zafuan Azeman pada minit ke-51 dan 64.
Namun, penjaga gol Perak, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy lebih tangkas bagi menafikan percubaan tersebut.
Perak turut terlepas peluang bagi memecah kebuntuan selepas penyudah tumpul ketika situasi kelam kabut di hadapan pintu gol Kedah jelas menghampakan.
Penyokong Perak sekali lagi kecewa selepas jaringan yang dihasilkan Gilmar pada minit ke-78 dibatalkan juga akibat ofsaid.
Keputusan tanpa jaringan tersebut kekal hingga wisel penamat ditiupkan pengadil perlawanan, Mohd Nafeez Abd Wahab.
Dengan keputusan ini, perebutan tempat kedua Liga Super masih terbuka buat Perak, Pahang dan Terengganu.