Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp berkata beliau tidak pernah ambil peduli dakwaan mengenai dirinya yang hipokrit dalam hal pembelian pemain.
Selepas Manchester United melengkapkan perpindahan bernilai £89 juta pada 2016 untuk Paul Pogba, pengendali dari Jerman itu pernah berkata beliau akan berhenti dari melibatkan diri dari bola sepak jika nilai pemain terus menjadi tidak masuk akal.
Namun pembelian penjaga gol Allison Beckher dari Roma yang merupakan penjaga gol termahal dunia bernilai £66.8 juta menjadikan jumlah terkumpul perbelanjaan kelab Merseyside itu mencecah £250 juta sejak 12 bulan yang lalu.
“Kami tidak peduli apa orang di seluruh dunia fikirkan megenai kami. Mengapa peduli apa orang kata?
Manchester United pun tidak peduli apa saya pernah kata,” ujar Klopp.
“Ianya hanya pendapat saya pada ketika itu. Adakah pendapat saya berubah? Ya, ia terjadi. Tetapi ianya lebih baik untuk mengubah pendapat daripada tidak mempunyai satu langsung.”
“Perkara terpenting ialah untuk kami memiliki pemain yang kami mahukan di dalam pasukan,” tambah Klopp lagi.
Liverpool membelanjakan £75 juta untuk mendapatkan pemain tengah pertahanan, Virgil van Dijk dari Southampton pada Januari lalu.
Sebelum itu, kelab Merseyside itu turut mempersetujui untuk membawa Naby Keita dari RB Leipzig dengan yuran perpindahan berjumlah £50 juta.
Musim panas ini, Klopp turut sudah mengesahkan ketibaan pemain tengah Brazil, Fabinho dari Monaco melibatkan transaksi dilaporkan sekitar £40 juta, dan juga Xherdan Shaqiri dari Stoke City dengan nilai £13 juta.
Ketibaan Allison yang merupakan penjaga gol utama Brazil di kejohanan Piala Dunia baru-baru ini melengkapkan senarai perpindahan tersebut setakat ini.
Klopp menanggap pembelian pemain oleh Liverpool sudah tamat pada jendela perpindahan ini. Namun tidak menolak kemungkinan lebih banyak pembelian mega akan terjadi di England sebelum jendela perpindahan di England ditutup pada 9 Ogos hadapan.