Pertemuan di antara pasukan Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan i Stadium Bolasepak Cheras malam ini pasti menarik dan ia adalah perlawanan yang akan menentukan pasukan mana yang bakal disingkirkan ke saingan divisyen 2, Liga Premier musim depan.
Pengendali Kuala Lumpur, Fabio Maciel meminta pemainnya menggangap perlawanan ini ibarat final dan memberikan yang terbaik demi memastikan pasukannya keluar daripada zon penyingkiran.
Skuad warga kota itu hanya memerlukan seri untuk kekal beraksi dalam Liga Super musim depan namun Maciel menuntut anak buahnya supaya meraih tiga mata.
Kuala Lumpur kini berada di tangga ke-10 dengan 21 mata sementara Negeri Sembilan mengutip 15 mata dengan baki hanya dua perlawanan.
“Ini perlawanan penting untuk kedua-dua pasukan bagi memastikan kekal dalam Liga Super musim depan. Walaupun Kuala Lumpur ada sedikit kelebihan, namun kedudukan kami belum selamat.
“Ya, seri sudah cukup untuk kami tapi saya tidak mahu pemain berfikir begitu sebaliknya mereka mesti main untuk menang.
“Saya mahu mereka anggap perlawanan ini bagai final yang mana sudah tentu memerlukan kemenangan untuk muncul juara. Mentaliti sebegini amat penting untuk memastikan anak buah saya bermain bersungguh-sungguh.
“Lagipun bukan mudah berdepan Negeri Sembilan yang akan memberikan segala-galanya dalam perlawanan ini kerana ia adalah perlawanan hidup mati buat mereka. Jika kami ambil mudah, ia akan mengundang padah,” katanya kepada Berita Harian.
Bagaimanapun, jurulatih dari Brazil itu pantas mengingatkan pemainnya supaya tidak melakukan kesilapan ‘budak sekolah’ seperti ketika dibelasah Perak 5-1, Rabu lalu.
“Saya sudah bercakap panjang lebar dengan pemain selepas kekalahan itu. Apa yang mengecewakan saya ia berpunca daripada kecuaian pemain malah bukan kesilapan pertama, sebaliknya sudah kerap kali berlaku.
“Fakta Kuala Lumpur pasukan yang paling banyak dibolosi satu hakikat yang perlu diakui pemain. Kami jaring 37 gol tapi bolos 48 gol, kebanyakannya kerana kecuaian pemain.
“Jadi malam esok, walaupun nak menang, saya minta pemain tidak mengabaikan aspek bertahan. Tidak guna anda jaring empat atau lima gol tapi akhirnya berada di pihak yang kalah,” tegasnya.