Walaupun masih berbaki 12 tahun lagi, desas-desus penganjuran Piala Dunia 2030 sudah mula tersebar. Edisi 2026 menyaksikan 3 negara bergabung untuk menjadi penganjur kejohanan berprestij ini.
Ini sekaligus menyaksikan Mexico satu-satunya negara di dunia menjadi hos Piala Dunia sebanyak 3 kali.
Menuju Amerika Selatan?
Kali terakhir benua ini mengendalikan kejohanan ini ialah pada 2014 di mana Brazil menjadi tuan rumah. Sebelum ini, Argentina dan Uruguay sudah menyatakan persetujuan bersama untuk membida Piala Dunia 2030.
Bidaan ini dilihat pelbagai pihak sebagai sentimental kerana genap 100 tahun penganjuran kejohanan ini. Pada 1930, Uruguay menjadi hos pertama dalam Piala Dunia.
Argentina pernah menjadi hos Piala Dunia pada 1978.
Ogos tahun lalu telah menyaksikan Paraguay sah menyertai kem bidaan Piala Dunia 2030.
Afrika sekali lagi
Ada pihak terkejut dengan undi diterima Maghribi agak banyak semasa pemilihan hos 2026 baru-baru ini. Malah defisit antara dua pencalonan itu tidak terlalu jauh.
Meskipun tewas, Maghribi diberitakan akan membida pula kejohanan 2030 ini. Tetapi kali ini bersama Algeria dan Tunisia.
Al Jazeera melaporkan Menteri Sukan dari Algeria akan pertimbangkan untuk bergabung dengan Maghribi untuk bidaan kejohanan ini. Difahamkan Tunisia juga terbuka dalam cadangan menarik ini.
Menteri Sukan Mesir, Dr. Ashraf Sobhy menyatakan hasrat juga untuk menjadikan negaranya sebagai penganjur pertandingan ini. Cuma, masih belum dipastikan adakah mereka membida sendirian atau bergabung dengan negara lain.
Pulang ke rumah?
Beberapa hari yang lalu, jurucakap Kerajaan Britain telah mengeluarkan kenyataan mengenai sokongan kepada bidaan penganjuran Piala Dunia 2030.
Jurucakap itu tersebut turut menyatakan mereka terbuka dan gembira jika badan-badan berkaitan bertemu serta membincangkan hal ehwal berkaitan.
Malah, cadangan untuk membida ini disambut baik oleh parti pembangkang utama Britain, Parti Buruh. Bidaan ini bukan sahaja merangkumi England, tetapi merangkumi Ireland Utara, Scotland dan Wales.
Penutup
Presiden FIFA, Gianni Infantino lebih berminat dengan penganjuran kejohanan ini secara bersama. Beliau menegaskan bahawa beliau tidak mahu melihat mana-mana stadium akan menjadi projek gajah putih di negara hos.
Pada pendapat anda, negara manakah akan menjadi hos pada 2030? Kongsikan di ruangan komen.