Jurulatih Senegal, Aliou Cisse dilihat bangga dengan prestasi yang ditunjukkan oleh para pemain beliau walaupun tersingkir awal dari Piala Dunia 2018.
Beliau yang merupakan kapten Senegal sewaktu Piala Dunia 2002 berasakan pasukannya tidaklah bermain seteruk yang disangkakan walaupun tidak menyempurnakan banyak peluang keemasan.
“Kami gagal menjaringkan gol dalam perlawanan menentang Colombia. Pada separuh masa kedua, kami bermain dengan cukup baik.”
“Kami mengawal permainan dengan baik dan saya kecewa untuk pasukan saya dan generasi Senegal ketika ini serta para pemain yang berjuang untuk negara.”
“Saya akan sentiasa memberi dorongan kepada para pemain ini kerana saya boleh jangkakan banyak perkara baik yang akan tiba untuk kami di masa akan datang.”
“Saya berbangga dengan pasukan saya dan kerja mereka. Kami tak layak kerana kami tak berhak layak. Inilah kehidupan.”
Senegal menjadi pasukan pertama di Piala Dunia yang disingkirkan atas peraturan fair play selepas terikat kutipan mata serta perbezaan gol bersama-sama Jepun.
Mereka tersingkir kerana mengutip kad kuning lebih banyak berbanding Jepun dengan Senegal 6 kad kuning manakala Jepun 4 kad kuning.
“Ini adalah peraturan bola sepak. Kami mengutip mata fair play yang sedikit berbanding pasukan lain.”
Cisse turut mengakui keputusan penalti yang ditarik balik oleh pengadil ke atas Senegal kerana Video Assistant Referee (VAR) adalah satu keputusan yang tidak tepat.
“Saya rasa pasukan saya patut menjaringkan gol di separuh masa pertama.”
“Apabila kita bermain baik, kita patut jaringkan gol namun kita gagal laksanakannya. Kami patut diberikan sepakan penalti tetapi pengadil menarik balik keputusannya dan saya perlu kaji balik insidien itu.”
Dengan tersingkirnya Senegal, tiada satu pun pasukan Afrika layak ke pusingan seterusnya.