Kedah turun di Stadium Darul Aman menentang PKNS FC dengan misi mahu terus mengejar kedudukan kedua unifi Liga Super 2018 yang masih terbuka menjadi rebutan beberapa pasukan.
Sekali lagi Ifwat Akmal di bangku simpanan dengan penjaga gol baharu, Mohd Ramdhan dipertaruhkan di posisi tersebut. Kedah juga beraksi tanpa Sandro yang kini dalam proses pemulihan.
Datuk K. Rajagobal pula menyenaraikan dua bekas bintang Kedah, Khyril Muhymeen dan Zac Anderson dalam kesebelasan utama PKNS FC dengan ketiadaan penyerang ikonik, Safee Sali.
Separuh masa pertama
10 minit pertama, kedua-dua pasukan dilihat cuba mengatur asakan ke kubu lawan menyaksikan Semut Merah lebih dominan dengan 3 percubaan tepat ke gawang tuan rumah.
Namun, percubaan tepat pertama Kedah telah menghasilkan gol pada minit ke-17 apabila Paulo Rangel mudah menewaskan Shahril Shaari selepas menerima hantaran bintang muda, Akhyar Rashid.
Akhyar membuat gerakan pantas di sisi kiri gol menewaskan pertahanan kanan, K. Rueben sebelum membuat hantaran kepada Rangel yang tidak dikawal kemas oleh pertahanan PKNS FC.
Itu merupakan gol ketiga berturut-turut oleh penyerang prolifik yang berasal daripada Brazil itu. Kehadiran Rangel menjelmakan impak yang sememangnya diingini oleh Helang Merah.
Selepas setengah jam perlawanan, Kedah tampak semakin selesa menguasai perlawanan dengan deretan asakan direncana oleh sentuhan Liridon Krasniqi dan juga larian pantas Akhyar.
Asakan pelawat pula acap kali tersekat di zon pertahanan Kedah yang dikawal oleh Khairul Helmi dan Alvaro Silva sambil kapten, Baddrol Bakhtiar juga dilihat turun membantu.
Pemain sayap, Andik Vermansyah berjaya meledak gol dari luar kotak penati pada minit ke-40 berpunca daripada kesilapan penjaga gol lawan yang tidak semena-mena keluar dari posisi.
Ia bermula daripada Liridon yang membuat hantaran jauh ke kawasan kiri gol lawan dan telah disambar oleh Andik selepas Shahril yang meninggal posisinya gagal melakukan pintasan awal.
Separuh masa kedua
Kedah dilihat terus menguasai perlawanan dengan jentera tengah didominasi oleh gandingan Baddrol, Liridon dan pemain yang mendapat panggilan ke kem skuad kebangsaan, Akram Mahinan.
Minit ke-51, percubaan kedua sepanjang perlawanan oleh Baddrol dari luar kotak penalti sedikit tersasar. Dia adakalanya dilihat akan membuat rotasi posisi bersama Liridon dan Akram.
Pertukaran Rajagobal memasukkan Mahali Jasuli menggantikan K. Rueben pada hujung babak pertama berjaya memperkukuhkan benteng disamping menghidupkan posisi sayap PKNS FC.
Menuju 70 minit aksi, skuad kendalian Nidzam Adha dilihat semakin mengurangkan cengkaman dengan kurang mengasak pasukan pelawat disamping memperlahankan tempo.
Walaupun membawa masuk Faris Ramli, kegagalan PKNS FC untuk menghadirkan ancaman buat benteng pertahanan tuan rumah menyaksikan perlawanan semakin menjemukan.
Tamat perlawanan dengan Kedah berjaya menewaskan PKNS FC dengan keputusan 2-0 dan ini merupakan kali pertama mereka berjaya menewaskan Semut Merah di Darul Aman.
Kedah meraih tiga mata berharga untuk meneruskan momentum mengejar posisi kedua liga. Dengan 9 kemenangan, Kedah kini mengumpul 30 mata, memintas Pahang di posisi ketiga liga.
PKNS FC pula masih dipalit badi kekalahan 0-4 kepada Selangor dalam aksi Shopee Piala FA baru-baru ini. Untuk rekod, ini adalah kekalahan ke-5 mereka di gelanggang lawan untuk musim 2018.