Previu: Iceland Mahu Cipta Rekod Terhebat, Croatia Enggan Keciciran Mata Penuh

Iceland

Iceland mengintai peluang untuk merekodkan kejayaan terhebat dalam sejarah bola sepak negara tersebut dengan mengidamkan untuk layak ke pusingan kalah mati pada penampilan pertama mereka dalam Piala Dunia.

Iceland wajib memenangi perlawanan terakhir pada awal pagi ini menentang Croatia dan mengharapkan agar Argentina dapat menghalang Nigeria dari memperoleh kemenangan.

Di samping itu, skuad bimbingan Heimir Hallgrimsson itu turut mengharapkan kelebihan perbezaan jaringan memihak kepada mereka bagi merintis impian tersebut.

Lawan mereka, Croatia sedikit lega apabila sudah terlebih dahulu mara selepas mudah menundukkan Argentina tempoh hari.

Iceland mahu lakar rekod terhebat

Iceland. Foto: gettyimages

Bagi pengendali Iceland, beliau menyifatkan kemaraan ke pusingan 16 pasukan terbaik itu jika menjadi kenyataan bakal menjadi pencapaian terbesar buat negaranya.

”Untuk negara seperti Argentina, Portugal, Jerman, ia menjadi kejutan sekiranya mereka tidak layak ke pusingan 16 terakhir.”

”Jika kami berupaya untuk melayakkan diri ke peringkat 16 terakhir, ia akan menjadi pencapaian terbesar buat sejarah bola sepak Iceland.”

Hallgrimsson turut memuji aksi yang ditampilkan skuad Croatia pada dua perlawanan terawal ketika bertemu Nigeria dan Argentia.

”Mereka telah melakukan perkara yang luar biasa pada dua perlawanan terawal. Para pemain begitu selesa dibimbing jurulatih (Zlatko Dalic) dan saya merasakan kami perlu memberikan banyak pujian terhadap permulaan mereka dalam kempen ini.”

Hanya satu mata bawa Croatia ungguli carta kumpulan

Skuad Croatia. Foto: gettyimages

Mempamerkan aksi memukau terutamanya pada perlawanan bertemu Argentina, Croatia dilihat sukar untuk ditentang Iceland pada perlawanan ini.

Walaupun mereka hanya memerlukan satu mata sahaja untuk meletakkan Croatia di tangga pertama kumpulan D, Dalic mahu anak buahnya meraih kemenangan dalam aksi yang berlangsung di Rostov Arena itu.

”Kami mahu menewaskan Iceland untuk terus kekal berada di tangga teratas kumpulan. Kami mempunyai corak permainan sendiri.”

”Kami tahu segalanya mengenai Iceland dan mereka juga tahu semuanya mengenai pasukan kami.”

Pemain tumpuan

Penjaga gol Iceland, Hannes Halldorsson menjadi pemain yang akan mencuri tumpuan apabila ketangkasannya bakal diuji barisan tengah dan serangan Croatia pada pagi ini.

Serangan ‘menggila’ yang dilancarkan Croatia juga pasti membuatkan Halldorsson tidak akan senang duduk di gawangnya bagi menangkis setiap asakan.

Hannes Halldórsson
Rating
Luka Modric

Luka Modric yang cemerlang pada aksi bertemu Argentina dilihat bakal sekali lagi menjadi nadi penting dalam pembentukan serangan Croatia.

Hantaran cantik serta kreativiti yang dimilikinya memudahkan rakan sepasukan untuk memanfaatkan peluang yang dicipta.

Sebelum sepak mula

Melihat kepada perkembangan semasa, Croatia adalah pilihan utama untuk menang pada perlawanan pagi nanti.

Kekentalan di bahagian pertahanan dan jentera tengah yang bijak mencipta gerakan yang tersusun menjadi sandaran utama buat Croatia.

Bagaimanapun, saingan yang bakal diberikan Iceland tidak boleh dipandang enteng.

Semangat juang pasukan yang pertama kali layak ke Piala Dunia itu juga mampu menghadirkan kejutan seperti yang hampir dilakukan Iran dan Maghribi pagi tadi.

Leave a Reply