Jaringan lewat permainan dari Iago Aspas berjaya membantu Sepanyol menjuarai kumpulan B selepas terikat 2-2 pada perlawanan bertemu Maghribi sebentar tadi.
Terikat 1-1 di babak pertama
Sepanyol menguasai hampir keseluruhan aksi di babak pertama dengan mencipta gerakan-gerakan tersusun bagi mengkucar-kacirkan jentera pertahanan Maghribi.
Manakala, skuad bimbingan Herve Renard pula menjadikan serangan balas pantas sebagai senjata utama bagi menghadapi Sepanyol.
Ketika para pemain La Roja ghairah mengawal permainan, sedikit kesilapan yang dilakukan pemain mereka telah memakan diri.
Salah faham antara Andres Iniesta dan Sergio Ramos di tengah padang memberikan peluang buat Khalid Boutaib untuk meluru pantas ke hadapan yang sekaligus menewaskan David De Gea pada minit ke-14.
Kegembiraan penyokong Maghribi meraikan jaringan pendahuluan tersebut tidak kekal lama setelah Isco kembali menyamakan kedudukan berselang lima minit kemudian.
Jaringan itu terhasil apabila Isco yang menerima hantaran ‘cutback’ dari Iniesta di sebelah kanan pintu gol Maghribi melepaskan satu rembatan dari jarak dekat untuk jaringan penyamaan.
Gerard Pique memperolehi peluang pada minit ke-23 berpunca daripada sepakan penjuru, bagaimanapun tandukan pertahanan tengah itu mudah ditangkap penjaga gol, Munir Mohand Mohamedi.
Dua minit kemudian, Boutaib sekali lagi mencemaskan pertahanan Sepanyol melalui serangan balas pantas apabila beliau hanya berhadapan dengan De Gea, tetapi kali ini penjaga gol berusia 27 tahun itu lebih bersedia bagi menafikan percubaan penyerang tersebut.
Ketika permainan babak pertama hampir ke penghujung, Sepanyol memperoleh peluang keemasan bagi menambah jaringan.
Namun, hantaran lintang cantik dari Iniesta yang mencari Diego Costa gagal disempurnakan dengan baik oleh penyerang Atletico Madrid itu.
Pemain gantian beri sumbangan berkesan
Seolah-olah mendapat tonik berguna di bilik persalinan, Maghribi menyajikan persembahan yang lebih garang pada minit awal selepas perlawanan bersambung dengan dua percubaan berbahaya.
Percubaan pertama hadir pada minit ke-51 menerusi hantaran lintang menarik yang dilakukan Hakim Ziyech ke dalam kotak penalti Sepanyol tetapi De Gea lebih pantas menyelamatkan keadaan.
Selepas itu, Nordin Amrabat pula memberikan ancaman di minit ke-55 menerusi rembatan padu dari luar kotak penalti.
Sayangnya, ledakan tersebut hanya singgah di tiang gol walaupun De Gea sudah pun tertewas.
Sepanyol kembali mengatur gerakan seperti kebiasaan dan mencipta peluang pada minit ke-60 selepas tandukan yang dilakukan Isco hasil hantaran Daniel Carvajal berjaya dikeluarkan oleh Romain Saiss ketika bola hampir menerjah jaring.
Skuad Singa Atlas sekali lagi mengejutkan Sepanyol dengan jaringan kedua yang tak disangka-sangka.
Youssef En-Nesyri melonjak tinggi bagi menanduk masuk bola hasil sepakan sudut yang dilakukan Faycal Fajr untuk Maghribi kembali mendahului pada minit ke-81.
Sepanyol terus menghampakan kelebihan yang dimiliki Maghribi apabila penyerang gantian, Iago Aspas kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-90.
Pembantu pengadil pada mulanya mendakwa Aspas berada dalam kedudukan ofsaid, namun Video Assistant Referee (VAR) telah mengesahkan jaringan tersebut.
Jaringan dari Aspas itu ternyata mendapat tentangan dari kem pasukan Maghribi.
Dengan keputusan ini, Sepanyol berjaya menjuarai kumpulan B selepas keputusan Portugal bertemu Iran juga berkesudahan dengan keputusan seri (1-1).
Sepanyol akan bertemu Rusia pada peringkat kalah mati manakala Portugal akan menanti cabaran juara kumpulan A, Uruguay.