Sepanyol dan Iran telah melalui pengalaman berbeza dalam aksi sulung mereka bagi saingan kumpulan B.
Kedua-dua perlawanan menyaksikan jaringan lewat permainan telah terhasil, namun situasi itu mencoretkan kisah suka duka buat dua pasukan yang berlainan ‘darjat’ itu.
Kemenangan pertama yang dicari Sepanyol pada perlawanan bertemu Portugal digagalkan oleh sepakan percuma cantik dari Cristiano Ronaldo pada minit ke-88 untuk skuad La Roja sekadar berpuas hati untuk mencatatkan keputusan seri 3-3.
Iran pula bergembira selepas penyerang gantian Maghribi, Aziz Bouhaddouz tertanduk bola ke gawang sendiri pada masa kecederaan untuk menghadiahkan kemenangan buat skuad bimbingan Carlos Queiroz itu.
Awal pagi nanti kedua-dua pasukan bakal membuat perhitungan di Kazan Arena bagi memburu kemenangan sebagai survival untuk mara lebih jauh pada edisi kali ini.
Sepanyol pilihan raih kemenangan
Merujuk kepada reputasi pasukan dan barisan pemain yang dimiliki, Sepanyol jelas berpeluang cerah untuk meraih kemenangan pada perlawanan ini.
700 hantaran tepat yang berjaya dilakukan Sepanyol pada perlawanan bertemu Portugal bakal memberikan kesukaran buat Iran untuk menyaingi skuad bimbingan Fernando Hierro ini.
Persembahan yang dipamerkan ketika menentang Portugal juga memperlihatkan Sepanyol berada dalam mood terbaik bagi menewaskan Iran.
Diberitakan kesemua 23 pemain juga bebas dari sebarang kecederaan termasuklah Dani Carvajal yang tidak diturunkan pada aksi bertemu Portugal.
Semangat juang kental jadi senjata Iran
Berada dalam mood terbaik selepas memperoleh kemenangan ketika bertemu Maghribi, semangat juang kental para pemain Iran sekali lagi menjadi senjata awal pagi nanti.
Kali ini lebih sukar apabila lawan yang bakal ditentang itu dibarisi pemain-pemain di kelab gergasi Eropah.
Queiroz turut mengakui semangat juang tinggi yang dimiliki anak buahnya.
”Kami tidak mempunyai bintang ternama dalam pasukan seperti Sepanyol, tetapi kami mempunyai keupayaan yang luar biasa untuk bekerja keras dan berkorban.”
Disiplin terutamanya buat jentera pertahanan serta kekebalan penjaga gol, Ali Reza Beiranvand yang tidak dibolosi tempohari sudah pasti ditagih untuk mempamerkan aksi lebih baik ketika berdepan Sepanyol.
Pemain tumpuan
Penjaring dua gol ketika bertemu Portugal, Diego Costa akan terus menjadi sandaran Fernando Hierro bagi merobek gawang Iran.
‘Budak nakal’ yang mempunyai sentuhan penyudah berbisa seperti yang dibuktikannya pada perlawanan tempoh hari sudah cukup untuk menggusarkan Masoud Shojaei dan rakan sepasukannya.
Tugas Costa akan menjadi lebih apabila beliau mendapat bantuan lorongan dan umpanan berkualiti dari Isco, David Silva dan Andres Iniesta.
Beliau mampu untuk melakukan sesuatu di luar jangkaan sekaligus membawa kepada kejayaan buat Sepanyol.
Selain daripada pemain pertahanan Iran yang sudah pasti akan bekerja keras pagi nanti, Alireza Jahanbakhsh juga wajar diberikan perhatian oleh pemain Sepanyol.
Pemain sayap kanan ini merupakan antara pemain yang menonjol pada aksi bertemu Maghribi.
Beliau melakukan satu percubaan tepat dan tersasar serta melakukan larian-larian yang memberikan ancaman.
Sebelum sepak mula
Sudah pasti misi kemenangan buat kedua-dua pasukan pada perlawanan ini. Iran dan Sepanyol tidak pernah bertemu sebelum ini.
Iran mengintai peluang untuk meraih kemenangan kedua berturut-turut bagi mendekatkan diri dengan pusingan kalah mati.
Sebagai pasukan pilihan, Sepanyol semestinya tidak akan memberi ‘muka’ buat Iran sekaligus untuk mendaki dua tempat teratas kumpulan B.
Merenung kembali statistik perlawanan pertama, Sepanyol dilihat tidak berdepan masalah untuk menamatkan perlawanan sebagai pemenang.
Namun, bola sepak tidak akan menjanjikan sesuatu yang pasti sebelum kedua-dua pasukan berentap.