Perlawanan peringkat kumpulan Piala Dunia 2018 diteruskan dengan Sweden bertemu dengan Korea Selatan.
Skripnya hampir sama dengan majoriti perlawanan-perlawanan Piala Dunia yang lain setakat ini kerana tempo perlawanan berlangsung sederhana.
Kedua-dua pasukan dilihat berhati-hati dalam melakukan gerakan berbahaya ke pintu lawan.
Apa yang boleh dilihat pada 20 minit pertama perlawanan adalah kedua-dua pasukan saling berbalas melakukan kekasaran dengan 10 kekasaran dicatatkan antara 2 pasukan ini selepas tempoh masa tersebut.
Percubaan bahaya pertama hanya muncul pada minit ke-21 apabila percubaan Marcus Berg dari jarak dekat ditepis dengan baik oleh penjaga gol Korea Selatan – Cho Hyun-woo.
Berg sekali lagi dinafikan jaringan gol pada minit ke-29 selepas percubaan jarak dekat beliau dinafikan oleh terjahan pertahanan Korea Selatan – Kim Young-gwon.
Peluang terbaik Korea Selatan untuk menjaringkan gol hadir pada minit ke-34 apabila laris deras Son Heung-min ketika serangan balas pantas berjaya memasuki kotak penalti Sweden.
Namun, cut-back dari beliau dipintas oleh kapten Sweden – Andreas Granqvist.
Son kemudiannya dinafikan penalti oleh pengadil selepas gerakan beliau jatuh dalam kotak penalti Sweden pada minit ke-41.
Berg terus kecewa apabila dinafikan gol sekali lagi, kali ini dinafikan oleh dirinya sendiri apabila percubaan beliau dari sudut sukar pada minit ke-43 tidak kena pada sasaran.
Ola Toivonen turut dinafikan sepakan penalti apabila terjahan dari Ki Sung-yueng menjatuhkan beliau.
Viktor Claesson terlepas peluang untuk menjaringkan gol pada awal separuh masa kedua apabila hantaran dari Mikael Lustig gagal disempurnakan oleh tandukan beliau.
Penjaga gol Korea Selatan berjaya menafikan gol Sweden apabila sekali lagi tandukan jarak dekat pada minit ke-56 berjaya dihalang oleh beliau.
Gol akhirnya tiba pada minit ke-65 apabila Sweden dihadiahkan penalti oleh pengadil selepas merujuk semula kepada Video Assistant Referee (VAR).
Granqvist dengan mudah menjaringkan gol menewaskan penjaga gol.
Korea Selatan kemudiannya cuba mencari gol namun peluang terbaik hanya hadir pada minit ke-90+2 menerusi Hwang Hee-chan namun tandukannya tersasar.
Sweden berjaya menamatkan penantian begitu lama untuk menang perlawanan pembukaan Piala Dunia. Kemenangan ini meletakkan mereka setara dengan Mexico dalam carta kumpulana F.
Keputusan akhir, Sweden 1-0 Korea Selatan