Penyerang Sepanyol, Diego Costa ternyata gembira dengan aksi yang dipamerkannya pada perlawanan bertemu Portugal awal pagi tadi.
Walaupun gagal membantu Sepanyol meraih kemenangan pada aksi sulung tersebut, Costa mampu berbangga setelah berjaya menghasilkan dua jaringan pada minit ke-24 dan 55.
Jaringan yang telah memadamkan kelebihan yang dicipta sebanyak dua kali oleh Cristiano Ronaldo.
Bagi Costa, jaringan tersebut juga telah berjaya menutup mulut pengkritik yang sebelum ini mempersoalkan kualiti yang dimilikinya.
”Saya perlu bekerja untuk menutup mulut mereka,” kata penyerang berusia 29 tahun yang beraksi buat Atletico Madrid itu.
”Jaringan yang dihasilkan sangat penting tetapi kebenarannya saya merasakan sangat baik sepanjang perlawanan.”
Diego Costa turut merasakan skuad La Roja lebih layak untuk bergelar sebagai pemenang pada perlawanan bertemu Portugal yang berkesudahan terikat dengan 3-3.
”Saya rasa kami lebih berhak untuk memperoleh kemenangan, kami mencipta lebih banyak peluang dan lebih menguasai bola.”
”Dua kali kami berjaya menyamakan kedudukan tetapi diakhirnya gagal untuk mencipta kemenangan.”
Dalam pada itu, Costa turut menegaskan persaingan sihat dalam kem Sepanyol memberikan peluang yang lebih baik buat pasukan untuk mencipta kejayaan.
”Sentiasa menjadi perdebatan mengenai perkara ini kerana ia memberikan makna terdapat persaingan dan ia bagus untuk pasukan.”
”Kami adalah satu keluarga.”