Maghribi yang beraksi lebih baik pada perlawanan bertemu Iran dalam aksi pembukaan kumpulan B terpaksa berputih mata selepas tewas pada minit akhir permainan.
Lebih pedih, jaringan kemenangan Iran itu dihasilkan oleh pemain Maghribi sendiri iaitu Aziz Bouhaddouz.
Bagi pemain tengah mereka, Mbark Boussoufa mengakui bahawa pasukannya tidak sepatutnya tewas pada perlawanan sulung itu.
Skuad yang dikenali sebagai Atlas Lions tersebut terlepas beberapa peluang keemasan antaranya percubaan yang dilakukan oleh Hakim Ziyech berjaya dinafikan penjaga gol Iran, Alireza Beiranvand.
”Anda dapat melihat yang seharusnya kami memenangi perlawanan ini, tetapi itulah bola sepak.”
”Kami juga beranggapan perlawanan akan berakhir dengan tanpa jaringan tetapi akhirnya kami dibolosi pada minit akhir perlawanan.”
”Ia menyakitkan dan keputusan ini sukar untuk diterima, tetapi ia telah terjadi. Tiada siapa yang dapat menjangkakan kami akan tewas.”
Sementara itu, pengendali Maghribi, Herve Renard turut berkongsi perasaan yang sama dengan Boussoufa.
”Saya rasa amat kecewa dan jika kami berakhir dengan keputusan seri, saya masih juga akan kecewa kerana kami beraksi dengan baik.”
”Satu kekalahan, apabila anda mempunyai beberapa peluang terbaik, ianya adalah merupakan perkara yang sangat teruk yang boleh terjadi pada masa kecederaan.”
Maghribi kini menduduki tangga terakhir selepas satu lagi perlawanan yang melibatkan Sepanyol dan Portugal berkesudahan dengan keputusan 3-3.