Iran mengejutkan pasukan pilihan Maghribi dalam perlawanan pertama mereka dalam Piala Dunia 2018.
Jika anda lahir pada 1998 ataupun anda menimang cahaya mata pada 1998, ari ini anda ataupun anak tersebut berusia 20 tahun. Itulah usia kemenangan terakhir Iran dengan kemenangan mereka pada hari ini.
Seperti dijangka, Maghribi akan turun dengan serangan-serangan sejak awal babak. Mereka memiliki penguasaan bola sehingga 81% pada awal 11 minit pertama.
Khabi memiliki peluang gol pada minit ke-8. Namun percubaan beliau tersasar. 10 minit kemudian, Maghribi membuatkan keadaan kucar-kacir di hadapan gol Iran. Namun tiada penyudah selepas beberapa percubaan dihadang.
13 minit pertama, 8 pemain Iran masih tidak merasa melakukan hantaran kepada rakan mereka. Itu adalah statistik yang menunjukkan betapa dominannya Maghribi.
Iran memiliki peluang terbaik menerusi Sardar Azmaoun hasil daripada serangan balas, namun gagal disudahkan dalam keadaan 1 lawan 1.
Iran boleh dikatakan berjaya untuk mengimbangi dominasi Maghribi walaupun mereka melakukannya secara perlahan-lahan tetapi mereka terus progres.
Separuh masa kedua, perlawanan berlangsung dengan seimbang pada awal 15 minit perlawanan. Di mana, kedua-dua pasukan bergelut untuk sampai ke kawasan gol lawan.
Minit ke-72, Nouredine Amrabat terpaksa dikeluarkan kerana impak daripada pertarungan fizikal.
Pada minit ke-80, Hakim Ziyech melakukan voli menarik namun ditepis oleh Beiranvand. Seminit kemudian, Achraf Hakimi menghantar bola cantik namun gagal disudahkan oleh Saiss.
Pada masa kecederaan, mimpi ngeri buat Maghribi selepas pemain mereka Bouhaddouz tertanduk bola ke gawang sendiri. Beliau patut bertahan lebih baik kerana tidak ada tekanan yang kuat ke atas beliau dalam situasi tersebut.
Iran meraikan kemenangan pertama mereka dalam Piala Dunia sejak kali terakhir melakukannya pada 1998 menentang Amerika Syarikat.
Ini juga kemenangan pertama pasukan dari Asia sejak Jepun menewaskan Denmark pada Piala Dunia 2010.