Biarpun England tidak pernah menang dalam aksi kalah mati sejak 12 tahun dalam kejohanan piala dunia, Persatuan Bolasepak England (FA England) sudah meletakkan sasaran buat pengurus Gareth Southgate untuk mara ke suku akhir di Russia sebagai ‘tanda sebenar peningkatan’.
“Apa yang kami mahukan adalah, dan saya tidak mahu memberitahu peringkat mana di kejohanan itu tetapi saya ingin memberi bayangan, kami tidak pernah menang perlawanan kalah mati sejak 2006,” kata ketua pegawai eksekutif FA Martin Glenn.
“Jadi, jelas sekali melepasi peringkat kumpuan dan menang perlawanan kalah mati akan menjadi tanda peningkatan yang ketara. Jika anda menang satu, anda akan menang lagi.”
England berada dalam Kumpulan G bersama Belgium, Panama dan Tunisia.
Juara Piala Dunia 1966 itu gagal melepasi peringkat kumpulan pada 2014 di mana mereka tewas kepada Itali dan Uruguay dan kecundang 1-4 kepada Jerman dalam aksi pusingan kedua pada 2010.
Mereka menang aksi kalah mati pada 2006, ke atas Ecuador yang membawa mereka ke suku akhir.
Jika England melepasi peringkat kumpulan, mereka akan berdepan sama ada Poland, Senegal, Colombia atau Jepun dari Kumpulan H.
Satu lagi kemenangan akan meletakkan mereka berdepan Brazil atau juara bertahan Jerman dalam kelompok lapan terbaik.
England cemerlang dalam aksi pemanas badan dengan kemenangan ke atas Nigeria dan Costa Rica yang turut menyertai Piala Dunia.