Quantcast

BERITA

Mesut Ozil Dedah Kisah Pergaduhan Dengan Jose Mourinho Di Real Madrid

Ini merupakan satu kisah menarik mengenai pemain Mesut Ozil dan juga pengurus Jose Mourinho sewaktu kedua-dua individu ini berada di Real Madrid.

Dalam aksi menentang Deportivo La Coruna satu ketika dahulu, Ozil mendedahkan dalam buku Gunning For Greatness yang di mana beliau telah bergaduh dengan Mourinho ketika rehat separuh masa.

Mourinho dikatakan tidak berpuas hati dengan aksi Ozil, namun bagi Ozil beliau telah berikan yang terbaik untuk pasukan.

“Apa lagi yang bos mahukan dari saya?”

Persoalan itu dilemparkan oleh Ozil kepada Mourinho selepas pengurus itu tidak berpuas hati dengan persembahan beliau.

Mourinho dikatakan tidak berpuas hati dengan persembahan bertahan Ozil dengan beliau menyifatkan pemain itu tidak cukup keras ketika melakukan terjahan.

“Saya nak kamu bermain sebaik boleh. Saya nak kamu terjah pemain lawan seperti seorang jantan!”

“Kamu tahu macam mana kamu lakukan terjahan, mari sini saya tunjukkan.”

Mourinho kemudiannya melakonkan semula terjahan Ozil yang dikatakan terlalu lembut.

Terjahan itu terlalu lembut hinggakan Mourinho mengatakan Ozil lebih risaukan dirinya tidak cedera dan bajunya tidak kotor sewaktu bermain.

“Oh saya tak boleh cedera, baju saya tak boleh kotor,” ulang Mourinho berkali-kali sewaktu melakonkan semula terjahan itu.

Ozil jelas berang dengan tindakan pengurusnya itu, beliau hilang sabar lalu mengeluarkan ayat ini.

“Kalau bos hebat sangat, bos pergilah main sendiri!”

Kata-kata itu nyata membuatkan Mourinho lebih marah dengan pemain Jerman itu.

“Jadi sekarang kamu sudah berputus asa? Dasar pengecut!”

“Apa yang kamu mahu sekarang? Mahu habiskan masa dengan mandi dengan air panas? Syampu rambut kamu dan menyendiri?”

“Atau kamu mahu tunjukkan kepada rakan sepasukan kamu, para peminat dan juga saya mengenai kehebatan kamu?”

Kata-kata pedas itu jelas menusuk hati Ozil, darah beliau makin menggelegak kerana kata-kata pengurusnya itu.

Mourinho terus menikam hati beliau dengan berkata,

“Kamu tahu Ozil? Kamu boleh merengek sesuka kamu. Sekarang kamu pergi dari sini! Kami tak perlukan kamu!”

Ozil terus tunduk dan mengambil barangnya untuk pergi melepasi pengurusnya.

Disaat beliau berasakan pengurusnya akan berhenti di situ, Ozil jelas tersilap. Mourinho memberi kata akhir beliau kepada Ozil.

“Kamu tu bukan Zinedine Zidane, kamu tak akan jadi seperti Zidane! Kamu tak setaraf dengan beliau!”

Kata-kata itu menurut Ozil, sememangnya menusuk hati beliau. Hal ini kerana, Zidane merupakan pemain idola beliau.

Usai tamat rehat separuh masa, Ozil tidak lagi beraksi dengan Kaka menggantikan beliau.

Sergio Ramos pula melakukan tindakan yang tidak diduga, dengan menyarung jersi Ozil di dalam jersi beliau dan ianya tular pada waktu itu.

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!