Untuk menerima kecederaan serius sebelum bermulanya kejohanan utama seperti Piala Dunia, pastinya satu perkara ngeri yang mahu dielakkan oleh para pemain.
Namun malang menimpa pemain West Ham United, Manuel Lanzini apabila beliau terpaksa dikeluarkan dari skuad Argentina selepas mengalami kecederaan ACL di lutut beliau semasa latihan pra-Piala Dunia bersama Argentina.
Malang buat Lanzini, tetapi tuah buat Enzo Perez apabila beliau dipanggil untuk menggantikan Lanzini.
Di Instagram beliau, Lanzini bercakap mengenai isu kecederaan beliau buat pertama kalinya selepas disisihkan dari skuad Argentina.
Menurut Lanzini, beliau berasa cukup terluka kerana impian yang beliau dambakan sejak kecil untuk beraksi di Piala Dunia musnah di saat akhir.
“Saya begitu terluka kerana saya begitu hampir untuk merealisasikan impian saya sejak kecil iaitu beraksi di Piala Dunia.”
Walaupun begitu, Lanzini mengakui beliau bersyukur dengan sokongan dan mesej positif yang diterima beliau ketika ini.
“Saya ingin ucapakan terima kasih kepada semua ahli keluarga, rakan-rakan dan juga peminat di atas semua sokongan yang diberikan kepada saya.”
Apa yang boleh diharapkan oleh Lanzini ketika ini adalah rakan sepasukan beliau mampu melakukan yang terbaik untuk Argentina di Piala Dunia kelak.
“Saya harap rakan sepasukan saya dapat mencapai sasaran yang ditetapkan bersama.”
Argentina bakal memulakan kempen Piala Dunia mereka menentang Iceland pada 16 Jun ini.