Pemain berdarah campuran Malaysia-Australia, Curran Ferns telah melengkapkan perpindahannya ke kelab Thai League T1, Sukhotai FC menurut laman facebook rasmi agensi MVP Sports Agency.
Ferns adalah merupakan pemain bagi pasukan Felda United yang beraksi dalam saingan Liga Premier Malaysia 2018.
Sebelum ini, dalam satu temubual bersama Stadium Astro, Curran Ferns mengatakan sebab utama beliau memilih untuk berhijrah ke Thailand adalah dalam usaha merebut tempat buat skuad kebangsaan bagi menghadapi kejohanan Piala AFF Suzuki 2018.
Pemain berusia 24 tahun itu turut menegaskan tahap yang lebih baik di Thailand juga menjadi faktor penghijrahannya walaupun tawaran yang diterimanya tidak tinggi.
“Saya masih muda dan mahu meningkatkan perkembangan dalam kerjaya bola sepak saya.
“Saya rasakan Thailand adalah satu tahap lebih tinggi yang boleh membantu saya dalam banyak perkara.
“Perkara utama yang membuatkan saya mahu ke sana adalah saya mahu bermain dalam Piala Suzuki AFF bersama Malaysia,” kata Ferns.
Sukhotai FC kini sedang menduduki tangga ke-9 Thai League T1 dengan mengumpul 24 mata, ketinggalan 17 mata di belakang pendahulu liga, Buriram United.
Curran Ferns yang lahir di Darwin, Australia juga pernah beraksi bersama Johor Darul Ta’zim II dan Negeri Sembilan selepas mengembangkan kariernya bola sepaknya di Malaysia pada tahun 2016.
Foto: MVP